Sabtu, 10 September 2016 | 7:21am

Kazakhstan lantik Sagintayev PM baharu


BYKYTZHAN Sagintayev. - Foto Reuters

ASTANA: Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev mengumumkan pelantikan Bykytzhan Sagintayev sebagai Perdana Menteri baharu menggantikan Karim Massimov yang dipecat, hari ini.

Pelantikannya sebagai Perdana Menteri sementara menamatkan spekulasi mengenai anak perempuan Nazarbayeva iaitu Dariga, 53, bakal menggantikan tempat Massimov.

Ada di kalangan penganalisis meramalkan Dariga mungkin menggantikan tempat bapanya yang berusia 76 tahun sebagai presiden selepas dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015. Nazarbayev tidak pernah memberi sebarang bayangan siapa penggantinya ketika itu.

Sagintayev bekas guru dan pakar ekonomi, pernah dilantik sebagai gabenor di wilayah utara Pavlodar. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Parti Nur Otan sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Pembangunan pada 2012.

Beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 2013.

Massimov yang mengetuai Kabinet negara sejak 2014 dipecat dan diberikan jawatan Ketua Pengawal Keselamatan Dalam Negeri, semalam.

Perubahan dalaman itu berlaku ketika keganasan radikal semakin meningkat di negara Asia Tengah itu.

Pada Jun lalu, empat orang awam dan tiga anggota tentera terbunuh di bahagian barat Aktobe apabila seorang penyerang melepaskan tembakan ke arah kedai. Mereka juga cuba merempuh pangkalan tentera dengan menggunakan bas yang dirampas. - AFP

Berita Harian X