Sabtu, 10 September 2016 | 12:00am

Mi bandung udang galah, Nasi Goreng Anak Dara di Restoran Bisik-bisik


NORHALIZA (kiri), Nuraini (kanan) dan Noor Akmar menunjukkan menu utama yang terdapat di Restoran Bisik-Bisik.

SETIAP kali mencuba masakan dari Johor, lidah mencicip keenakan rasa berbeza.

Meskipun, menu sama namun kepelbagaian ramuan digunakan bergabung dengan kreativiti air tangan chef yang menyediakannya, menjemput rasa sama sekali baharu pada tekak.

Restoran Bisik-bisik (BB) milik bersama Norhaliza Md Yusop, Nuraini Azaluddin dan Noor Akmar Azammudeen menyajikan hidangan Johor terutama tempat kelahiran mereka, iaitu Muar dan Batu Pahat.

Demi mempelbagaikan pilihan, masakan kampung dan hidangan Barat turut dihidangkan.

Popular dengan mi bandung udang galah, mi rebus tulang gearbox, laksa Johor, asam pedas selain nasi ambeng dan kacang pool yang dinikmati bersama roti.

Norhaliza atau lebih mesra disapa Ain, berkata mi bandung udang galah mengemukakan tiga gred udang dikategorikan sebagai A, B dan C.

Semua bekalan udang segar diperoleh melalui pembekal tetap dari Sabah.

Menyentuh keistimewaan mi ini, Ain menerangkan ia mengutarakan rasa manis udang galah enak berbaur dengan telur rebus, sayur sawi dan tauhu.

Mi kuning tidak mengembang

Di Restoran Bisik Bisik juga, pelanggan boleh menikmati mi ekslusif dari dapur yang dijamin tidak mengembang biarpun makanan itu sudah sejuk.

Mi itu tidak ada rasa pahit kapur supaya tidak muak untuk menghabiskannya, sebaliknya tetap sedap apabila digaul bersama kuah berlemak manis, pekat dan tidak pedas hasil adunan udang kering hancur dikacau sebati dengan kuah.

Ain berkata, pelanggan setia ke restorannya tidak lupa memesan mi rebus telur pindang yang menebal rasa rempah ratus sementara penggemar daging kambing, puas meratah dan menyedut manis lemak tulangnya yang menjadi tunjang resipi mi rebus tulang gearbox.

Nasi goreng bujang

Menyediakan hampir 40 jenis masakan, nasi goreng anak dara dan nasi goreng anak bujang menggamit perhatian bukan kerana namanya, tetapi jugagabungan cita rasa pattaya dan paprik untuk membuahkan keenakan tersendiri.

"Kedua-duanya tetap nasi goreng, namun bagi anak dara, cara masakan nasi goreng pattaya yang disiram kuah paprik ayam.

"Nasi goreng anak bujang juga sebenarnya nasi pattaya tetapi diambil bersama daging puyuh goreng kunyit," kata Ain.

Di sebalik nama bisik-bisik

Bagi penghilang dahaga, Restoran Bisik Bisik menawarkan air kathira yang menggunakan bahan seperti sirap pandan, barli, cincau, selasih, kembang semangkuk, kurma dan anggur.

Minuman lain ABC asam boi, kelapa laut, ribena laici, buah naga namun paling unik bancuhan air tadi mengabadikan nama watak kartun Upin Ipin.

Menyingkap penubuhan Restoran Bisik Bisik, ketiga-tiga pengusahanya bersetuju nama diberikan berbunyi agak lucu tetapi mudah diingat serta disebut pelanggan.

Ia juga melambangkan harapan yang mahukan pelanggan berbisik sedap kepada orang lain, tetapi membisikkan kepada mereka jika tidak enak supaya kelemahan diperbaiki.

INFO:

Restoran Bisik Bisik

Lokasi: Jalan Zirkon B7/B, Seksyen 7, Shah Alam

Waktu Operasi: 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam

Menu Istimewa

* Mi Bandung Udang Galah

* Mi Gulung Udang Galah

* Nasi Ambeng

* Nasi Goreng Ayam Pop

* Nasi Goreng Anak Dara

* Nasi Goreng Bujang

* Mi Rebus Telur Pindang

Berita Harian X