Jumaat, 9 September 2016 | 9:04pm

7 usahawan terima Anugerah Agropreneur Agrobank 2016


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek beramah mesra dengan pemenang selepas menyampaikan anugerah agrepreneur cermelang 2016 turut bersama Pengerusi AGROBank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zaina (lima kiri)l dan Presiden AGRO Bank, Datuk Wan Fadzmi Wan Othman (kiri) di Majlis Pemyampayan Anugerah Agrepreneur AGROBank 2016 . - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Agrobank, bank yang dimandatkan untuk memperkasa komuniti pertanian dan asas tani, baru-baru ini mengiktiraf usahawannya pada majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2016.

Anugerah julung kali dianjurkan itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelanggan yang berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Majlis itu yang dianjurkan bersempena meraikan ulang tahun Agrobank ke-47, juga bagi memberi sokongan moral dan motivasi kepada usahawan lain untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian.

Pengiktirafan diberikan kepada tujuh pelanggan menerusi tujuh kategori iaitu Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Agropreneur Mikro, Anugerah Anugerah Agropreneur Inovasi, Anugerah Pelanggan Setia (Individu dan Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata bank itu amat menghargai setiap pelanggan dan akan sentiasa memberikan yang terbaik supaya mereka dapat mengekalkan momentum kejayaan pada masa depan.

Katanya, Agrobank berbangga dengan pencapaian usahawan agro terbabit yang bekerja keras demi meningkatkan perniagaan dan projek mereka daripada tahap sara hidup ke tahap komersial serta eksport.

"Pertanian adalah antara penyumbang pertumbuhan ekonomi terpenting di Malaysia. Sejak penubuhannya pada 1969, Agrobank menyokong impian usahawan agro bagi membina empayar perniagaan, sekali gus menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

"Bagi separuh pertama 2016, Agrobank mencatatkan nilai pembiayaan membanggakan berjumlah RM8.06 bilion, yang mana 60.79 peratus atau RM4.9 bilion adalah pembiayaan bagi sektor pertanian primer.

"Pertumbuhan pembiayaan bagi separuh pertama tahun ini adalah 8.29 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama bagi tahun lalu. Ini adalah pencapaian cemerlang terutama dalam keadaan ekonomi global semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Agropreneur Agrobank 2016 di sini, baru-baru ini. Ia turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, sektor pertanian bukan sektor malap seperti yang didakwa sesetengah pihak, tetapi sektor yang akan bersinar selama-lamanya.

Katanya, situasi di Malaysia berbeza dengan situasi di negara maju yang kebanyakan golongan mudanya memilih bekerja dalam sektor yang berasaskan teknologi dan pembuatan.

"Pembabitan golongan muda di Malaysia dalam sektor pertanian dan asas tani amat dialu-alukan oleh kerajaan dan anjuran anugerah seperti ini tentunya dapat meningkat serta menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan anak muda dalam sektor ini," katanya.

INFO:

Antara pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2016

* Anugerah Agropreneur Inovasi: Woon Chin & Sons Sdn Bhd

* Anugerah Agropreneur Mikro: Doana Frozen

* Anugerah Agropreneur Setia (Individu): Yaakob Busu

* Penerima anugerah menerima trofi, sijil dan hadiah wang tunai bernilai RM110,000

Berita Harian X