Jumaat, 9 September 2016 | 11:23am
PENDUDUK melihat paparan saham di Bursa Tokyo. - Foto AP

Saham Asia dibuka lebih rendah

TOKYO: Pasaran saham Asia merosot manakala bon global berada di bawah tekanan pagi ini, selepas Bank Pusat Eropah (ECB) membiarkan pasaran tertanya-tanya mengenai langkah pelonggaran yang akan diambilnya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, harga minyak melonjak susulan penurunan di luar jangkaan simpanan di Amerika Syarikat (AS).

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun susut 0.4 peratus daripada paras tertinggi 13 bulan yang dicatatkan pada Khamis, sekali gus mencerminkan penurunan dalam indeks seluruh negara dunia MSCI.

Nikkei di Jepun susut 0.2 peratus, selepas laporan bahawa Korea Utara mungkin sudah melaksanakan satu ujian nuklear.

Semalaman di Wall Street, S&P 500 kehilangan 0.22 peratus, dipengaruhi oleh penurunan 2.6 peratus saham Apple berikutan kekecewaan terhadap iPhone terbaharunya.

Bagaimanapun, kenaikan dalam saham tenaga mengimbangi kerugian dalam kebanyakan sektor lain.

Di Eropah, saham Jerman mengambil petunjuk daripada tindakan ECB, namun saham di Eropah Selatan meningkat.

Presiden ECB, Mario Draghi, yang bercakap selepas bank pusat itu mengekalkan dasar faedahnya seperti dijangka berkata bank sedang melihat beberapa pilihan yang membolehkannya meneruskan program mencetak wang, tetapi mengekalkan pelan itu pada akhir Mac. - Reuters

Berita Harian X