Rabu, 7 September 2016 | 12:02am

Novel sejarah kini lebih luas, bawa tafsiran baharu


PROF Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

NOVEL sebelum dan awal merdeka banyak merakamkan suka-duka perjalanan Malaysia menuju kemerdekaan seperti Sandera karya Sasterawan Negara (SN), Muhammad Abdul Biang (Arena Wati) dan Interlok (SN, Abdullah Hussien).

Bagaimanapun, novel tema itu pada masa kini, mungkin membawa sudut pandangan berbeza sesuai dengan usia kemerdekaan negara yang sudah mencecah 59 tahun.

Pensyarah Jabatan Sosio Budaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata novel tentang kemerdekaan atau nasionalisme dalam konteks zaman ini, mempunyai definisi yang lebih luas.

"Nasionalisme bukan lagi diukur pada banyaknya bendera dipasang di rumah atau kereta. Mencintai negara dengan mempertahankan negara daripada unsur penganiayaan, bersifat antirasuah atau tadbir urus tidak betul juga adalah tindakan nasionalisme.

Hasilkan novel nasionalisme

"Negara runtuh bukan hanya kerana peperangan, bahkan gejala negatif itu. Mungkin novel bersifat nasionalisme boleh ditulis mengenai hal sedemikian dan kaitkan dengan semangat kecintaan pada negara kerana setiap karya itu dilahirkan sesuai dengan zamannya," katanya kepada BH di sini.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, ia tidaklah bermaksud salah untuk terus mengangkat kisah tentang sejarah pembinaan negara, sebaliknya bentuk novel sejarah yang dihasilkan pengarang dulu dengan sekarang, agak jauh bezanya.

"Hari ini, penulisan sejarah semasa lebih kepada 'kunjungan kembali' atau boleh dinamakan sebagai pensejarahan baharu, iaitu fakta sejarah yang ditafsirkan mengikut pandangan pengarang.

"Luka Nering karya Malim Ghozali Pk misalnya adalah karya mempunyai tafsiran baharu pada sejarah, manakala realisme sejarah yang saya fikir baik ialah novel Anugerah oleh Zaharah Nawawi yang mengisahkan perjuangan wanita dalam politik sebelum merdeka.

"Saya katakan ia baik kerana membangkitkan sudut pandang feminisme yang masih kurang diterokai oleh pengarang apabila di dalam novel berkenaan, ada bayangan watak tokoh seperti Ibu Zain dan Khatijah Sidek," katanya.

Karya Ah Fook berciri sejarah

Naskhah Ah Fook tulisan Jong Chian Lai pula, kata Awang Azman, meskipun mengambil latar sejarah, ia lebih menepati definisi sejarah sosiobudaya.

"Wataknya ialah mereka yang berhijrah ke Borneo yang menyaksikan berlaku perkahwinan campur, sekali gus mengungkapkan diaspora orang Cina di Borneo.

"Ia menampilkan ciri sastera etnik yang pekat menyaksikan bermulanya kehidupan baharu dan keperluan untuk berasimilasi dengan budaya setempat apabila berlaku penghijrahan," katanya.

Tegas Awang Azman, terdapat dua jenis novel sejarah, iaitu sejarah tulen seperti yang terdapat dalam Anugerah, manakala novel penafsiran sejarah sesuai dengan semangat sezaman seperti 1515 oleh Faisal Tehrani atau diolah dengan perspektif baharu seperti Luka Nering.

"Penyeberang Sempadan karya SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan juga menarik untuk dilihat kerana ia menggabungkan fakta, fiksyen dan imaginasi tetapi bukan realisme sejarah sebaliknya lebih kepada pensejarahan baharu. Ia adalah novel dengan perspektif Timur mengkaji Timur.

"Selama ini, kita melihat komunisme semata-mata sebagai ideologi yang jelik tetapi Penyeberang Sempadan membawa kita mengenal mengapa terjadinya kecenderungan kepada ideologi itu," katanya.

Awang Azman berkata, genre sebegini kurang diteroka oleh pengarang kerana kajian sejarah memakan masa yang lama selain memerlukan fokus dan stamina kerana waktu yang panjang diperlukan dalam menyiapkan naskhah, sekali gus memerlukan kesedaran pada diri pengarang sendiri.

Berita Harian X