Selasa, 6 September 2016 | 9:30pm

Pertemuan Dr M, Anwar menjengkelkan - Ahmad Bashah


PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuatu yang menjengkelkan. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: UMNO Kedah menyifatkan pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuatu yang menjengkelkan dalam dunia politik tanah air.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu seperti seseorang sedang dihantui dosa silamnya, hingga sanggup berjumpa dengan anak didiknya dalam politik yang dipecatnya, 18 tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah itu melihat tindakan Dr Mahathir adalah satu ajaran politik matlamat menghalalkan cara kepada pengikutnya.

"Dr Mahathir kini dilihat berjabat tangan dengan seorang pemimpin yang beliau sendiri pecat dan kata tidak layak untuk menjadi pemimpin dengan tuduhan memalukan waktu itu.

"Apakah beliau sedang membersihkan Anwar atau Dr Mahathir hanya mahu matlamatnya tercapai dengan cara apa sekalipun. Bagi saya, cita-cita Dr Mahathir terbukti apabila sanggup melakukan apa sahaja demi legasinya dan matlamatnya mahu menjatuhkan kerajaan bukan lagi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita Harian X