Isnin, 5 September 2016 | 4:36pm
Pelajar tahun enam, Muhammad Danish Ikmal Mohd Rosdi, 12, (kanan) bersama Siti Nurzulaiha Mohd Mat Sidi, 12, semasa mengulang kaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sk Pulau Aman, Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Hanya dua calon UPSR di SK Pulau Aman


Pelajar tahun enam, Muhammad Danish Ikmal Mohd Rosdi, 12, (kanan) bersama rakan kelas, Siti Nurzulaiha Mat Sidi, 12, menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di Sekolah Kebangsaan Pulau Aman, Batu Kawan, Pulau Pinang. Pada tahun ini, hanya dua orang calon UPSR yang terlibat dari SK Pulau Aman dan jumlah keseluruhan pelajar adalah 23 orang dari tahun satu hingga tahun enam. - Foto Amir Irsyad Omar

BATU KAWAN: Hanya dua calon menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman di sini, tahun ini.

Guru Besarnya, Nokman Che Abas, berkata biarpun hanya dua calon sahaja dari sekolah itu menduduki UPSR, pihaknya tetap memberi penekanan untuk mengekalkan prestasi akademik dua murid berkenaan.

Katanya, perkara itu langsung tidak dianggap sebagai kekurangan sebaliknya kedua-dua mereka beruntung kerana mendapat perhatian lebih selain mendapat bimbingan peribadi daripada guru.

"Kami tidak memandang ringan prestasi akademik mereka malah mengadakan pelbagai program untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

"Malah, kami juga sering membawa dua murid ini keluar dari Pulau Aman bagi menyertai beberapa program akademik sebagai pendedahan selain membuka peluang mereka bergaul dengan calon UPSR dari sekolah lain," katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Nokman berkata, ketika ini, jumlah keseluruhan murid di SK Pulau Aman adalah 23 orang dan 13 guru.

Sementara itu, dua calon berkenaan, Siti Nurzulaiha Mat Sidi dan Muhammad Danish Ikmal Mohd Rosdi, 12, berazam untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR.

Siti Nurzulaiha berkata, dia yang tinggal di Batu Kawan terpaksa berulang-alik menaiki bot dari Jeti Batu Musang ke Pulau Aman di sini seawal jam 7 pagi untuk bersekolah di sini sejak enam tahun lalu, selain mengakui tidak kekok walaupun hanya mempunyai seorang sahaja rakan sedarjah.

"Selama enam tahun, kami hanya belajar berdua tetapi keadaan ini langsung tidak membuatkan saya bosan bahkan seronok apabila mendapat perhatian yang lebih daripada cikgu," katanya.

Berita Harian X