Isnin, 5 September 2016 | 11:06am

54,663 murid duduki UPSR di Johor

Guru Besar, Sariat Mokmin (dua dari kanan) memberi kata-kata semnagat kepada calon sebelum memulakan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk menjawab kertas 1 Bahasa Melayu (PEMAHAMAN) di Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda, Johor Bahru. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Seramai 54,663 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 945 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh Johor, hari ini.

Pengarah Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata daripada jumlah itu, 25,683 murid adalah di Sekolah Kebangsaan, 16,104 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, 2,088 di SJK Tamil dan 788 calon sekolah swasta.

Katanya, seramai 122 Calon Berkeperluan Khas (CBK), iaitu yang menghadapi masalah pembelajaran serta kurang upaya seperti fizikal, pendengaran dan penglihatan, turut menduduki UPSR tahun ini.

"Seramai 6,145 petugas peperiksaan ditempatkan di semua pusat terdiri daripada 221 penyelia kawasan, ketua pengawas dan timbalan ketua pengawas masing-masing 945 dan 3,089 pengawas peperiksaan.

"Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, jabatan melantik 21 ketua pengawas peperiksaan yang ditempatkan di 21 hospital kerajaan dan swasta di seluruh negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan BH ke beberapa sekolah di bandar raya ini pagi tadi, mendapati peperiksaan UPSR berjalan lancar dengan kebanyakan ibu bapa mengambil peluang menghantar anak mereka ke sekolah bagi memberi semangat sebelum menjalani peperiksaan.

Berita Harian X