Isnin, 5 September 2016 | 9:35am
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rusni Abdul Jalil (kiri) bersalaman bersama murid SK Seremban 2B merupakan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memasuki dewan peperiksaan UPSR di SK Seremban 2B. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

16,945 duduki UPSR di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seramai 16,945 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 349 sekolah negeri ini, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil, berkata daripada jumlah itu, 11,849 murid adalah di Sekolah Kebangsaan, 3,346 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 1,529 di SJK Tamil.

Katanya, seramai 47 Calon Berkeperluan Khas, iaitu yang menghadapi masalah pembelajaran serta kurang upaya seperti fizikal, pendengaran dan penglihatan, turut menduduki UPSR.

"Lapan calon yang menghadapi masalah kesihatan pula menjawab soalan peperiksaan di hospital," katanya pada sidang media selepas melawat pusat peperiksaan di SK Seremban 2B di sini, hari ini.

Rusni berkata, penekanan juga diberikan terhadap aspek operasi UPSR bagi memastikan kejadian soalan bocor pada tahun 2014 tidak berulang.

Katanya, semua 1,954 petugas peperiksaan diarahkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan kertas soalan peperiksaan hanya dibawa dari bilik kebal di Pejabat Pendidikan Daerah pada hari peperiksaan.

Berita Harian X