Ahad, 4 September 2016 | 12:32am

GP Britain: Hafizh petak ke-5, Khairul Idham, Adam tercicir

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah menggunakan sepenuhnya keadaan litar basah di Silverstone pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Britain di petak kelima, hari ini.

Penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu mencatatkan masa 2 minit 27.963 saat (s) untuk memulakan perlumbaan di barisan kedua ketika pelumba tuan rumah, Sam Lowes mengungguli sesi kelayakan dengan catatan terpantas 2'26.740s.

Pendahulu kejuaraan Moto2, Johann Zarco dari Perancis melakukan masa kedua terpantas, ketinggalan 0.399s diikuti pelumba Jerman, Jonas Folger ketiga, ketinggalan 0.762s.

Memulakan perlumbaan di sebelah Hafizh ialah pelumba Sepanyol yang juga adik kepada Marc Marquez, Alex Marquez dengan pelumba Itali, Franco Morbidelli melengkapkan kedudukan di barisan kedua.

Dalam kelas Moto3, kedua-dua pelumba negara yang beraksi dalam kelas terbabit iaitu Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin akan memulakan perlumbaan di petak ke-16 dan 24.

Tampil dengan status 'Raja Litar Basah', Khairul Idham begitupun sekadar melakukan catatan 2'35.266s, ketinggalan 1.624s di belakang pelumba terpantas, Francesco Bagnaia dari Itali yang melakukan catatan 2'33.642s bersama pasukan Mahindra.

Adam yang berlumba bersama pasukan Drive M7 SIC Racing dalam pada itu sekadar melakukan 2'36.664s, ketinggalan 3.022s di belakang Bagnaia.

Seorang lagi pelumba Itali, Enea Bastianini akan memulakan perlumbaan Moto3 di petak kedua selepas melakukan catatan kedua terpantas, 2'33.748s diikuti pelumba Belanda, Bo Bendsneyder melengkapkan barisan depan bersama pasukan KTM.

"Sesi kelayakan hari ini amat sukar. Sebelum sesi, saya cuba untuk bertenang dan fokus namun sejurus keluar ke litar, semua keyakinan saya terhadap jentera hilang," kata Adam.

Kedudukan sesi kelayakan Moto2

1. Sam Lowes (GBR) Federal Oil Gresini Moto2, Kalex, 2'26.740s

2. Johann Zarco (FRA) Ajo Motorsport, Kalex, +0.399s

3. Jonas Folger (GER) Dynavolt Intact GP, Kalex, +0.762s

4. Alex Marquez (SPA) Estrella Galicia 0,0 Marc VDS, Kalex, + 0.766s

5. Hafizh Syahrin (MAS) Petronas Raceline Malaysia, Kalex, +1.223s

6. Franco Morbidelli (ITA) Estrella Galicia 0,0 Marc VDS, Kalex, +1.307s

7. Isaac Viñales (SPA) Tech 3 Racing, Tech 3, +1.324s

8. Lorenzo Baldassarri (ITA) Forward Team, Kalex, +1.591s

9. Simone Corsi (ITA) Speed Up Racing, Speed Up, +1.914s

10. Thomas Luthi (SWI) Garage Plus Interwetten, Kalex, +1.971s

Kedudukan sesi kelayakan Moto3

1. Francesco Bagnaia (ITA) Pull & Bear ASPAR Mahindra Team, Mahindra, 2'33.642s

2. Enea Bastianini (ITA) Gresini Racing Moto3, Honda, +0.106s

3. Bo Bendsneyder (NED) Red Bull KTM Ajo, KTM, +0.352s

4. Niccolò Antonelli (ITA) Ongetta-Rivacold, Honda, +0.741s

5. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Ajo, KTM, +0.744s

6. Joan Mir (SPA) Leopard Racing. KTM, +0.837s

7. Jules Danilo (FRA) Ongetta-Rivacold, Honda, +0.962s

8. Jorge Martin (SPA) Pull & Bear ASPAR Mahindra Team, Mahindra, +1.005s

9. Nicolo Bulega (ITA) SKY Racing Team VR46, KTM, +1.027s

10. Lorenzo Dalla Porta (ITA) SKY Racing Team VR46, KTM, +1.111s

**16. Khairul Idham Pawi (MAS) Honda Team Asia, Honda, +1.624s

**24. Adam Norrodin (MAS) Drive M7 SIC Racing Team, Honda, +3.022s

* Kedudukan 10 terbaik

** (Pelumba Malaysia)

Berita Harian X