Sabtu, 3 September 2016 | 9:45am

24 ditahan main judi di rumah orang mati


POLIS menahan 24 kaki judi termasuk empat wanita yang bermain judi belangkas ketika upacara pengebumian di kawasan Paya Mat Insun, dekat Pendang, tengah malam tadi. - Foto ihsan PDRM

ALOR SETAR: Sekumpulan 24 kaki judi termasuk empat wanita yang tergamak mengambil kesempatan bermain judi belangkas ketika upacara pengebumian di kawasan Paya Mat Insun, dekat Pendang, di sini, ditahan polis tengah malam tadi.

Dalam serbuan itu jam 12.30 tengah malam di hadapan sebuah rumah berhampiran upacara pengebumian itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM35,000 serta pelbagai peralatan untuk judi belangkas termasuk pinggan serta dadu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pendang diketuai Inspektor Azman Adnan, hasil maklumat orang awam.

Ketua JSJ Kedah, Senior Asisten Komisioner Nashir Ya, berkata mereka yang ditahan masing-masing berusia 24 hingga 64 tahun.

"Hasil maklumat diperoleh polis, kita menahan sekumpulan pemain judi yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti itu pada acara pengebumian dan semua tahanan akan dibawa untuk permohonan reman pagi ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X