Khamis, 1 September 2016 | 5:23pm

103,300 calon SJK mula duduki UPSR


GURU Besar, P Dharmalingam beramah mesra bersama murid SJKT Segambut selepas selesai kertas Tamil Pemahaman UPSR. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Seramai 103,300 murid Tahun Enam di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) seluruh negara menduduki subjek Bahasa Cina serta Bahasa Tamil dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, 88,508 adalah calon SJKC dan 14,792 lagi SJKT, manakala peperiksaan membabitkan kertas Pemahaman dan Penulisan kedua-dua subjek berkenaan.

Mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan 452,721 calon UPSR yang akan menduduki subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada Isnin hingga Khamis depan.

Sementara itu tinjauan BH di beberapa SJKT sekitar ibu kota mendapati semua calon hadir dan sesi peperiksaan berjalan lancar.

Guru Besar SJKT Ampang, N Ghandimathy, berkata seramai 85 calon sekolah itu meliputi 43 perempuan dan 42 lelaki menduduki UPSR tahun ini.

"Lazimnya, kami akan mengadakan kelas tambahan hingga sehari sebelum peperiksaan bermula.

"Bagaimanapun, tiada kelas tambahan semalam (kelmarin) kerana cuti sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59," katanya.

Guru Besar SJKT Saraswathy, S Mariyamal, pula berkata seramai 70 calon menduduki UPSR kali ini dengan menyasarkan 10 peratus daripadanya meraih keputusan semua A.

Sementara itu Guru Besar SJKT Segambut, P Dharmalingam, berkata seramai 63 calon mengambil UPSR di sekolah berkenaan tahun ini.

FAKTA NOMBOR

Calon UPSR 2016

443,677 calon - Sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan

9,044 calon - Sekolah swasta

Berita Harian X