Rabu, 31 Ogos 2016 | 9:06pm

Pesawat United Airlines dilencong selepas 16 cedera akibat ribut


- Foto hiasan

DUBLIN: Sebuah pesawat United Airlines yang dalam penerbangan dari Houston, Texas ke Heathrow, London terpaksa dilencongkan ke Ireland selepas 14 penumpang dan dua kru cedera apabila pesawat mengalami gegaran udara akibat ribut.

Pesawat itu yang membawa 207 penumpang dan 13 anak kapal itu dalam perjalanan dari Houstan, Texas menuju ke Heathrow, London terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Shannon, Ireland bagi merawat penumpang yang cedera.

Semua mangsa dan anak kapal yang cedera di bawa ke Hospital Universiti Limerick untuk mendapatkan rawatan.

Pesawat jenis Boeing 767-300 itu dijadualkan mendarat di Heathrow sekitar jam 6.55 pagi waktu tempatan.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pada kebiasaannya gegaran udara boleh disebabkan oleh, pergerakan udara luar biasa, tekanan atmosfera, aliran jet, udara di sekeliling gunung, cuaca sejuk atau panas dan ribut petir.

FAA berkata, gegaran udara menjadi punca kecederaan penumpang ketika dalam penerbangan. Secara purata setiap tahun, 58 orang di Amerika Syarikat cedera ketika penerbangan akibat gegaran udara kerana tidak memakai tali pinggang keselamatan.

Kebanyakan kemalangan yang membabitkan gegaran udara berlaku ketika pesawat berada pada ketinggian 9,144 meter dari aras laut. - Agensi

Berita Harian X