Rabu, 31 Ogos 2016 | 6:13pm

Program RAP Selangor Dredging bantu miliki rumah

KESUKARAN mendapatkan pinjaman perumahan sering kali menjadi halangan kepada pembeli untuk memiliki rumah sendiri berikutan kekangan aliran tunai atau jumlah wang dimiliki tidak mencukupi.

Menyedari hakikat itu, Selangor Dredging Bhd, baru-baru ini melancarkan program Tinggal dan Beli (RAP) untuk pembeli rumah yang berpotensi bagi menawarkan lebih banyak peluang kepada orang ramai memiliki rumah sendiri.

Ketua Hal Ehwal Korporat Selangor Dredging, Lina Othman, berkata RAP yang juga program pertama seumpamanya oleh mana-mana pemaju perumahan di negara ini hanya memerlukan pembeli membayar lima peratus harga rumah yang ingin dibeli dan boleh terus mendiami rumah terbabit.

Bantu pembeli

Beliau berkata, program itu diperkenalkan terutama untuk membantu pembeli yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan dan sambutan diterima amat menggalakkan.

"Satu kelebihan terbesar program RAP ialah, di samping mengurangkan beban aliran tunai pembeli, mereka juga boleh membeli rumah impian mereka pada harga yang ditetapkan pada masa ini," katanya.

Di bawah program RAP, selepas pembeli membayar lima peratus harga rumah dan mendiaminya, bayaran ansuran akan dibuat kepada pemaju selama 36 bulan.

Bayaran bulanan itu dijadikan sebagai bayaran kos rumah yang mana kedua-dua bayaran itu mewakili 30 peratus daripada keseluruhan harga rumah.

Selepas 36 tempoh bulan, pembeli dikehendaki mendapatkan pinjaman perumahan dari bank atau institusi kewangan untuk membayar baki bayaran, iaitu 70 peratus harga rumah terbabit.

Lina berkata, Program RAP Selangor Dredging itu hanya ditawarkan untuk projek 'Windows on the Park' di Cheras, 'Laman & Bayu' di Puchong dan 'By the Sea' di Pulau Pinang.

Semangat pemilikan

Katanya, satu daripada kelebihan program RAP ialah, pembeli akan dapat merasai semangat pemilikan untuk rumah yang bakal dimilikinya dan membuat perancangan mengenai aset mereka.

"Ia juga akan menjadikan mereka lebih menghargai dan menjaga baik hartanah yang bakal menjadi milik mereka, dengan kesedaran bahawa wang sewa yang dibayar akan membolehkan mereka memiliki rumah itu dalam jangka panjang," katanya.

Tip hartanah: Persediaan sebelum membeli rumah

* Lokasi Hartanah

- Perlu tentukan di mana lokasi hartanah yang dikehendaki dan jenis kejiranan yang anda mahukan.

- Antara aspek pengaruhi pilihan lokasi adalah kemudahan asas seperti kedai, bank, pejabat pos, hospital dan taman rekreasi.

- Ketahui juga kemudahan pengangkutan awam yang disediakan dan jarak kawasan itu dari tempat kerja anda sama ada memenuhi kehendak atau pun tidak.

- Lokasi sesebuah projek perumahan memberi impak serta kesan yang mendalam kepada harga dan nilai hartanah terbabit.

* Pegangan hak milik sama ada pegangan bebas atau pajakan serta sama ada ia lot Bumiputera

Pegangan bebas

- Tempoh pegangan hartanah terbabit adalah bebas selama-lamanya.

- Apabila membeli rumah jenis pegangan bebas, anda berpeluang menjadikannya milik anda untuk selama-lamanya dan jika anda tiada lagi, rumah terbabit boleh diserahkan kepada waris anda.

Pegangan pajakan 

- Tempoh pegangan selama 99 tahun daripada tarikh dibina.

- Selepas 99 tahun, kerajaan mempunyai hak untuk mengambil rumah serta tanah terbabit dan tuan rumah berkemungkinan mendapat sedikit pampasan daripada pihak kerajaan.

Lot Bumiputera

- Untuk membantu pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.

- Unit Bumiputera sesuai dibeli oleh pelabur dan hanya ingin mengambil wang keuntungan semasa.

- Sasarannya adalah pemilikan 30 peratus dalam sektor hartanah melalui peruntukan khas kuota unit Bumiputera bagi sesebuah projek hartanah.

- Bagi kebanyakan pembeli, rumah yang dibeli adalah untuk selama-lamanya. Dalam hal ini, pilihan terbaik sudah tentu pegangan bebas. Tambahan pula, nilai pasaran hartanah pegangan bebas biasanya lebih tinggi, manakala nilai hartanah pegangan pajakan biasanya akan menurun apabila hampir tamat tempoh pajakan.

* Semak latar belakang pemaju

Pastikan mereka mampu untuk bukan sahaja menyiapkan hartanah terbabit dalam masa ditetapkan, tetapi kemasannya juga menepati jangkaan.

* Juga perlu semak apa jenis kemudahan pembiayaan pinjaman yang disediakan, kadar faedah, tempoh pinjaman, bayaran ansuran dan buat perkiraan anda.

* Anda juga harus "mendidik" diri anda dengan menghadiri ceramah dan seminar hartanah untuk belajar mengenai penawaran terbaik atau pembelian berbaloi di pasaran.

INFO:

Windows on The Park

- Terletak di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.

- Kondominium pegangan bebas ini dibina di tanah berkeluasan 3.56 hektar.

- Mengandungi tiga blok perumahan dengan jumlah keseluruhan 540 unit.

- Unit ditawarkan dengan keluasan 916 hingga 413 kaki persegi.

Laman & Bayu

- Terletak di Puchong, Selangor 

- 72 unit kediaman berkembar pegangan bebas dengan keluasan 2,672 hingga 3,058 kaki persegi.

- Memiliki tingkap besar sehingga tujuh kaki tinggi di ruang tamu.

- Ruang tamu yang luas dengan sistem pengudaraan yang baik.

By the Sea

- Terletak di Jalan Batu Ferringhi, Pulau Pinang, 

- Kondominium mewah pegangan bebas.

- Mengandungi lima blok (enam hingga 12 tingkat) membabitkan 138 unit.

- Unit kondominium bersaiz 1,037 hingga 3,012 kaki persegi.

Berita Harian X