Rabu, 31 Ogos 2016 | 6:10pm

Sembilan bayi Merdeka di Perlis


LIMA daripada sembilan bayi yang lahir pada tarikh 31 Ogos 2016 di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Sembilan bayi 'Merdeka' dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, hari ini, membabitkan tujuh lelaki dan dua perempuan.

Bayi pertama adalah lelaki yang dilahirkan Maslizah Dar, 31, dengan berat 2.28 kilogram.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat HTF, Ali Ismail, berkata semua bayi itu selamat dilahirkan antara jam 12.57 tengah malam sehingga 8.04 pagi.

"Kami menjangkakan lima bayi lagi mungkin dilahirkan hari ini jika tiada apa-apa halangan," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Sementara itu, salah seorang ibu bayi, Norliyana Abdullah, 27, tidak menjangka melahirkan anak 'Merdeka' kerana sebelum ini beliau dijadualkan bersalin pada 8 September ini.

"Saya dan suami, Jefppri Dasri, tidak sangka seawal ini kerana anak pertama saya sebelum ini lahir mengikut tarikh diberikan doktor.

"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan diharapkan anak lelaki saya ini dapat menjadi pemimpin yang beriman," katanya.

Dalam pada itu, sempena sambutan kemerdekaan, Ahli Lembaga Pengarah HTF turut mengadakan program khas meraikan kesemua bayi terbabit.

Berita Harian X