Rabu, 31 Ogos 2016 | 12:05am
OMAR Aman, 34, dan isteri, Mardhiah Nasir, 29, bersama lima orang anak memakai pakaian bercorak jalur gemilang yang dijahit sendiri khas untuk meraikan sambutan Ambang Merdeka di Jalan Hang Tuah, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman
HADIRIN mengibarkan Jalur Gemilang semasa ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Amanat Merdeka 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto BERNAMA
AHLI Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad (tengah) bergambar bersama orang ramai pada majlis sambutan Ambang Kemerdekaan di Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SUASANA majlis sambutan Ambang Kemerdekaan di pekarangan Taman KLCC, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PEMILIK kereta berhias Jalur Gemilang, Sunaru Abdul Rahman, memperbetulkan bendera yang dipasang pada kenderaannya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Sambutan Ambang Merdeka 2016 meriah di seluruh negara


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama hadirin mengibarkan Jalur Gemilang selepas ucapan Amanat Merdeka 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pelbagai acara diadakan di seluruh negara untuk menyambut ambang Merdeka malam ini, sempena Hari Kebangsaan 2016, dengan penduduk pelbagai kaum berbangga menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah.

Di ibu negara, kibaran bendera Malaysia dan pelbagai aktiviti selingan, termasuk nyanyian berunsur patriotik mewarnai kemeriahan sambutan ambang Merdeka di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kehangatan menyambut detik jam 12 tengah malam di PWTC turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selain artis, atlet, cendekiawan, ahli politik, mahasiswa, budayawan dan ahli badan beruniform daripada pelbagai institusi pendidikan.

Program seumpamanya sempena Hari Kebangsaan Ke-59, tahun ini dilihat antara penyatuan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur demi menghayati suasana ketika laungan Merdeka.


ORANG ramai turut meraikan sambutan Ambang Merdeka di Jalan Hang Tuah, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bersama barisan EXCO kerajaan negeri menyertai kira-kira 10,000 penduduk di Jalan Hang Tuah, untuk membuat kiraan detik 12 tengah malam.

Sambutan itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan, termasuk tarian kebudayaan pelbagai kaum dan nyanyian lagu patriotik, pertunjukan silat, acara memotong kek 'Sehati Sejiwa' dan pertunjukan bunga api selama 10 minit.

Di KUANTAN, lebih 1,000 orang berjemaah menunaikan solat hajat serta bacaan Yasin pada majlis kesyukuran dan doa selamat di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, yang diimamkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Dalam pada itu, Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam Program Kayuhan Ambang Merdeka anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang dengan kerjasama Kolej Shahputra.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyertai program Kayuhan Merdeka Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2016 di Dataran MBI, di sini. Baginda yang ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyertai kayuhan sejauh lapan kilometer (km) pada jam 9 malam bermula dari lokasi itu sebelum mengakhiri kayuhan di lokasi sama.

Terdahulu, baginda turut berkenan melepaskan lebih 1,000 peserta kayuhan sejauh 20km di lokasi sama.


SAMBUTAN Ambang Kemerdekaan di Kota Bharu menggamit kehadiran lebih 4,000 pengunjung di Lembah Sireh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Di KOTA BHARU, lebih 4,000 pengunjung hadir memeriahkan acara sambutan ambang Merdeka, di sini, yang diisi dengan persembahan Dikir Barat, tarian tradisional Mak Yong dan pertunjukan bunga api 59 das menandakan simbolik 59 tahun sambutan kemerdekaan.

Di JOHOR BAHRU, hampir 10,000 membanjiri Program Malam Ambang Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Johor 2016 di Dataran Ledang, Tangkak.


SUASANA majlis sambutan Ambang Kemerdekaan peringkat Negeri Kedah di Dataran Utama Aman Sentral. - Foto Amran Hamid

Di ALOR SETAR, lebih 1,000 orang membanjiri Dataran utama Aman Sentral berhadapan Menara Alor Setar seawal jam 10 malam bagi menyaksikan sambutan Ambang Merdeka 2016, dengan acara dimulakan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' diikuti lagu negeri, 'Allah Selamat Sultan', selain disajikan dengan deklamasi sajak, persembahan hiburan dan tayangan video kemerdekaan, gimik pelancaran dan laungan Merdeka.

Di KANGAR, hujan renyai sejak petang tadi, tidak mematahkan semangat lebih 2,000 orang untuk menyambut Ambang Merdeka 2016 di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, di sini malam ini.

Orang ramai daripada pelbagai agama dan bangsa nyata terhibur ketika menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian Melayu, gendang India, tarian Cina dan kebudayaan masyarakat Siam.  Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man bersama barisan EXCO negeri.


MERIAH...Pertunjukan bunga api menyemarakkan lagi majlis sambutan Ambang Kemerdekaan di Dataran Tangkak, Ledang, Johor. - Foto Syarafiq Abd Samad

Di SEREMBAN, acara wayang pacak filem patriotik, Embun, menjadi antara tarikan utama sambutan ambang kemerdekaan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini. Acara sambutan yang bermula jam 9 malam itu, dihadiri kira-kira 5,000 orang daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Di BUTTERWORTH, bermula jam 8 malam, lebih 1,000 penduduk Seberang Perai membanjiri sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, untuk mengambil tempat sebelum menantikan detik 12 malam bagi menyaksikan percikan bunga api dan laungan kemerdekaan.

Di KOTA KINABALU, walaupun tiada sambutan rasmi ambang merdeka diadakan, kemunculan sebuah 'kereta berhias' yang dipenuhi 80 Jalur Gemilang dan bendera Sabah, hasil kreativiti pemiliknya, Sunaru Abdul Rahman, 55, menarik perhatian orang ramai di Padang Merdeka, di sini.

Di KUALA NERUS, seramai 3,000 rakyat Terengganu membanjiri pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, bagi meraikan sambutan Ambang Merdeka anjuran kerajaan negeri, malam ini.

Di PASIR MAS, hampir 500 pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat hadir ke pertunjukan wayang kulit yang diadakan selama tiga hari bermula Ahad lalu di Kampung Chicha Tinggi, di sini. Pertunjukan itu untuk mencari kelainan dalam menyambut ambang kemerdekaan.

Berita Harian X