Selasa, 30 Ogos 2016 | 7:53pm

Mekanik cedera ditumbuk isteri

BUKIT MERTAJAM: Seorang mekanik cedera dipukul isterinya selepas berlaku pergaduhan antara mereka di rumah pasangan itu di Flat Desa Damai, Sungai Rambai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 38 tahun cedera di pipi dan bibir akibat ditumbuk isterinya yang berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pergaduhan antara pasangan itu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi si isteri.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berkenaan berpunca apabila si isteri meminta wang daripada suaminya untuk membayar hutang, tetapi suaminya enggan menyerahkan wang yang dimintanya.

"Akibatnya, berlaku pertengkaran antara mereka sehingga mengakibatkan wanita terbabit bertindak menumbuk muka suaminya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi tadi, sebelum dia diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.

Nik Ros Azhan berkata, pertengkaran pasangan itu kemudian dileraikan seorang anak mereka yang berusia 17 tahun.

Berita Harian X