Selasa, 30 Ogos 2016 | 6:45am

Pengurusan sisa pepejal negara perlu dipertingkat


JUMLAH sisa pepejal di beberapa tapak buangan dilaporkan menjadi seperti bangunan puluhan tingkat, pencemaran air sungai menjadi serius dan kawasan penempatan berhampiran diganggu bau busuk lagi menjijikkan. - Foto Mohd Amin Jalil

TRAGEDI terbaru kebocoran tapak sisa pepejal di Langkawi UNESCO Global Geopark sehingga mencemar Sungai Kilim adalah satu peristiwa yang menyedihkan, tetapi turut membawa pengajaran penting kepada kita semua. Pengurusan sisa pepejal menjadi isu utama pencemaran alam sekitar sejak negara mencapai kemerdekaan dan membangun dengan pesat.

Jika kita masih ingat, sejak awal 1980-an bandar raya utama negara, termasuk Kuala Lumpur berdepan dengan isu kritikal mengenai pengurusan pelupusan sisa pepejal.

Jumlah sisa pepejal di beberapa tapak buangan dilaporkan menjadi seperti bangunan puluhan tingkat, pencemaran air sungai menjadi serius dan kawasan penempatan berhampiran diganggu bau busuk lagi menjijikkan.

Sungai di Lembah Klang dilaporkan sudah menjadi tempat buangan sisa domestik sehingga setiap minggu, pihak berkuasa tempatan terpaksa membelanjakan dana yang besar untuk mengangkut ratusan tan sampah-sarap dari dalam sungai untuk dilupuskan. Kualiti air sungai di kebanyakan sungai tercemar teruk kerana ia dijadikan 'tapak tanpa izin' buangan sampah-sarap.

Isu pencemaran alam sekitar dan kebersihan bandar akibat pembuangan sampah-sarap negara ini masih kritikal. Di beberapa tempat, ia seperti bom jangka - hanya menunggu untuk meletup. Ketika saya menetap di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu umpamanya, saya perhatikan setiap pagi Ahad, semua tong sampah di tepi jalan penuh sesak dan melimpah ruah di sekelilingnya dengan sampah-sarap. Ia seolah-olah tidak terurus, menyakitkan mata memandang dan membawa imej negatif kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan alam.

Umpama retak menanti belah

Tragedi kebocoran cecair pereputan sisa pepejal di Sungai Kilim umpama retak menanti belah. Isu pengurusan sisa pepejal di Langkawi sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun, iaitu sejak Langkawi diisytiharkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Walaupun pelbagai usaha dicuba, keadaan masih tenat dan penyelesaian jangka panjang masih belum dicapai. Usah menuding jari, semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini.

Penyelesaian isu kronik pengurusan sisa pepejal di Langkawi dan pulau pelancongan lain memerlukan pendekatan luar biasa dan iltizam tinggi oleh semua pihak berkepentingan. Ekosistem kepulauan Langkawi tidak mempunyai ruang untuk tapak pembuangan sisa pepejal. Bukan sahaja ia berbukit dan banyak pulau kecil, tanah rata sangat terhad dan dipenuhi oleh penempatan dan pusat peranginan.

Semua sungainya pendek serta dipengaruhi oleh pasang surut, tentunya tidak sesuai sebagai agen tabii mengangkut sampah-sarap ke lautan. Langkawi mempunyai keupayaan tampungan menyerap sisa manusia yang sangat terbatas. Jika ingin mencari jalan penyelesaian pengurusan sisa pepejal di kepulauan pelancongan ini, kita perlu gunakan pemikiran mendatar (lateral thinking).

Soalan asas yang perlu ditanyakan ialah bolehkah Langkawi dijadikan pulau pelancongan tanpa menghasilkan sisa pepejal? Soalan seperti ini meminta kita memikirkan pendekatan 'setiap pelancong yang datang ke Langkawi, perlu membawa pulang sisa pepejalnya'. Pendekatan sama sudah kita lakukan untuk pelancong yang mendaki Gunung Kinabalu atau Gunung Tahan, mengapa tidak di Langkawi.

Sebetulnya, konsep membawa pulang sampah-sarap masing-masing apabila melawat ke kawasan sensitif alam sekitar adalah suatu yang 'simbolik'. Ia boleh diterjemahkan kepada beberapa tindakan berikut:

Pelancong yang datang perlu kurangkan membawa potensi sampah sarap;

Perkhidmatan kita juga perlu menghindar penghasilan sampah-sarap, khususnya yang toksik atau berbahaya, dan

Mereka yang masih membawa sisa pepejal ke Langkawi perlu membayar perkhidmatan untuk mengurusnya.

Tindakan luar biasa

Dalam konteks begini, tindakan luar biasa yang perlu diambil oleh semua pihak, khususnya pentadbir di Langkawi, agensi pembekal industri pelancongan dan komuniti untuk menyelamatkan daripada tragedi alam sekitar di Langkawi adalah seperti berikut:

  • Wujudkan bayaran perkhidmatan alam sekitar kepada setiap pelancong yang masuk ke Langkawi. Dana ini khusus untuk menjaga integriti alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal;
  • Tapak sisa pepejal tidak sesuai ditempatkan di Pulau Langkawi dan di kawasan pelancongan, justeru pentadbir daerah perlu mencari tapak yang sesuai di kepulauan Langkawi, jika masih ada atau di tanah besar Semenanjung;
  • Tiada industri yang berpotensi mencemar alam sekitar atau menghasilkan sisa pepejal yang banyak ditempatkan di Langkawi; dan
  • Konsep pembangunan lestari, khususnya yang membabitkan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan tabii, kelakuan kepenggunaan, penjimatan tenaga, kualiti air, perkhidmatan rendah karbon perlu diperkukuhkan.

Dengan iltizam yang tinggi dan semangat kawi (geoparkian), semua pihak di Langkawi perlu bekerjasama menjadikan Langkawi UNESCO Global Geopark destinasi pelancongan bebas sisi pepejal, udara dan air bersih, dan alam sekitar diletakkan di kerusi hadapan dalam dasar pembangunannya.

Berita Harian X