Isnin, 29 Ogos 2016 | 12:56pm

Tingkap besar, ciri menarik Hundred East

RUMAH bertanah khususnya teres terus menjadi pilihan rakyat, meskipun kediaman jenis itu semakin kurang ditawarkan oleh pemaju terutama di lokasi berdekatan bandar berikutan tanah yang terhad dan harganya yang mahal.

Justeru, kebanyakan rumah jenis teres kini banyak dibina di kawasan jauh dari pusat bandar atau terletak di pinggir bandar. Antara pemaju yang menawarkan rumah teres ialah TH Properties, yang tampil dengan projek pembangunan kediaman terbaharunya, Hundred East, di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Rumah super link dua tingkat kontemporari itu yang dijual pada harga bermula daripada RM574,400, merangkumi 100 unit rumah dengan tiga saiz lot berlainan iaitu 26'X80', 24'X75' dan 22'X75' dalam kawasan berpagar dengan pondok pengawal.

Hundred East menawarkan ruang binaan dari 2,120 hingga 2,420 kaki persegi serta dilengkapi kelengkapan bermutu tinggi dan tingkap besar, sekali gus membolehkan kemasukan udara segar yang lancar dan sinaran cahaya semula jadi sepanjang hari.

Dengan lokasinya terletak di Bandar Enstek yang sedang membangun pesat, Hundred East menawarkan kelebihan dari segi keunggulan lokasi, hubungan mudah, pembinaan berkualiti dan pelbagai kemudahan moden yang menjanjikan kemeriahan dan gaya hidup berkomuniti.

Ini menjadikannya begitu menarik dan popular bagi mereka yang sedang mencari keseimbangan yang sempurna di antara kehidupan bandar dan pinggir bandar.

Lokasinya yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA, menjadikan Hundred East sesuai sebagai pelaburan, terutama bagi keluarga yang mencari pelbagai kemudahan institusi pengajian tinggi.

Terdapat beberapa pusat pendidikan dan kolej berprestij berdekatan yang sedang pesat membangun dan menawarkan kemudahan pendidikan terbaik.

Pembinaan Hundred East sedang berjalan lancar dan dijadualkan siap untuk diduduki pada suku ketiga tahun ini.

Bakal pembeli dan orang ramai yang berminat boleh datang ke majlis jualan di tapak binaan Hundred East Bandar Enstek untuk melihat rumah contoh pada hari ini dan esok, mulai jam 10 pagi hingga 5 petang pada keduadua hari berkenaan.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Jualan TH Properties, Zaidi Baharudin, berkata selain harganya yang menarik, syarikat juga menanggung yuran guaman untuk Perjanjian Jual Beli (SPA) dan cukai setem bagi Memorandum Pemindahan (MOT) untuk SPA.

"Oleh itu, gunakan majlis jualan hujung minggu ini untuk menjadikan pembelian rumah Hundred East lebih bernilai untuk dimiliki," katanya.

Info

Hundred East @enstek

- 50 unit rumah 26' x 80' dengan keluasan ruang binaan dari 2,382 kaki persegi hingga 2,420 kaki persegi dan keluasan tanah antara 2,080 kaki persegi hingga 5,255 kaki persegi. Terdapat tiga jenis yang berlainan: Jenis B1 (penjuru), Jenis B2 (tengah) dan Jenis B3 (tengah istimewa), pada harga RM623,400 dan ke atas.

- 47 unit rumah 24' x 75' dengan keluasan ruang binaan dari 2,232 kaki persegi hingga 2,366 kaki persegi dan keluasan tanah antara 1,800 kaki persegi hingga 5,036 kaki persegi. Tiga jenis rumah disediakan iaitu Jenis A1 (penjuru), Jenis A5 (tengah) dan Jenis A3 (tengah istimewa), berharga RM574,400 dan ke atas.

- 3 unit rumah 22' x 75' (lot tepi) berkeluasan ruang binaan 2,120 kaki persegi dan keluasan tanah antara 2,550 kaki persegi hingga 4,018 kaki persegi. Boleh didapati dalam 1 Jenis A4 (lot tepi), pada harga RM636,800 dan ke atas.

Berita Harian X