Isnin, 29 Ogos 2016 | 12:42am

Pembabitan Anifah selidik Perjanjian Malaysia disalah tafsir


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

KIMANIS: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakannya berkongsi pentas dengan pembangkang untuk menyelidik Perjanjian Malaysia 1963 disalah tafsir oleh bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Salah tafsir itu berlaku ketika beliau (Mohd Shafie) menyampaikan beberapa ceramah di Sabah bulan lalu.

Malah, Anifah berkata, pembabitannya dalam beberapa program dengan pembangkang itu pada tahun lalu juga dipersoalkan sehinggakan tindakan disiplin dari UMNO tidak pula diambil terhadapnya kerana berbuat demikian.

Beliau mengaku terbabit dalam program itu, tetapi bukan atas kepentingan dirinya sendiri dan pembabitannya itu turut beliau maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Benar, saya sepentas dengan pembangkang. Tetapi saya mahu orang-orang Sabah tahu, tidak ada yang lebih utama dalam prinsip perjuangan saya melainkan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini," katanya pada Persidangan Perwakilan UMNO Kimanis di Dewan Membakut dekat sini, hari ini.

Anifah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, berkata beliau pernah menjemput Mohd Shafie untuk turut serta menyelidik Perjanjian Malaysia 1963, tetapi menolak.

"Padahal, ia (penyelidikan Perjanjian Malaysia 1963) jelas untuk memperjuangkan hak orang Sabah, tetapi beliau (Mohd Shafie) berkeras tidak mahu turut serta.

"Malah, beliau (Mohd Shafie) marah saya kerana saya sepentas dengan pembangkang," katanya.

Anifah juga kesal pembohongan Mohd Shafie mengenai permohonan peruntukan untuk membangunkan infrastruktur di Kimanis ketika Mohd Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menurutnya, Mohd Shafie mendakwa dalam ceramahnya bahawa Anifah, yang juga anggota Parlimen Kimanis, memohon jumlah yang sikit untuk pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

"Saya minta RM50 juta, tetapi beliau kata saya ada pergi ke pejabatnya untuk minta RM500,000. Ini cukup menghina rakyat di Kimanis, cukup menghina rakyat di Sabah.

"Apa sahaja yang boleh kita buat dengan RM500,000 sedangkan beliau ada bajet RM15 bilion ketika di KKLW," katanya.

Pada persidangan itu, UMNO Kimanis sebulat suara menyokong usul untuk memberi sokongan penuh kepada Najib sebagai pemimpin parti dan kerajaan.

UMNO bahagian itu juga menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Ketika membentangkan usul itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kimanis Saudah Sarzaman, berkata kesetiaan dan sokongan itu wajar agar UMNO kekal relevan.

- BERNAMA

Berita Harian X