Ahad, 28 Ogos 2016 | 7:59pm

Bantuan kewangan bayar yuran pendaftaran UA


Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) melihat Buku Masjid Ulul Albab yang diterbitkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas pelancaran buku tersebut hari ini.Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (dua, kanan) dan Pengarang buku berkenaan Datuk Prof Madya Dr Noraien Mansor (kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pihak Universiti Awam (UA) memberi jaminan untuk membantu pelajar yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata beliau menerima maklumat bahawa terdapat segelintir pelajar, terutamanya daripada golongan B40, yang menghadapi kekangan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran bagi kemasukan ke UA.

"Sehubungan dengan itu, saya sudah menghubungi setiap Naib Canselor UA mengenai perkara ini.

"Alhamdulillah, mereka sudah menzahirkan keprihatinan mengenai hal ini dan memberi jaminan kepada saya bahawa pihak universiti sedia membantu pelajar yang mengalami kesulitan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran.

"Oleh itu, pelajar baharu diminta untuk hadir pada hari pendaftaran di UA masing-masing dan bolehlah merujuk kaunter khas yang disediakan oleh pihak universiti untuk bantuan kewangan dan keterangan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Malah, katanya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan bantuan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) berjumlah RM1,500 bagi pelajar yang memerlukan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"WPP boleh ditunaikan oleh pelajar penerima mulai 22 Ogos lalu.

"Pelajar yang berhasrat untuk mendapatkan pinjaman PTPTN, hendaklah memastikan permohonan secara dalam talian dihantar sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos ini dan seterusnya melengkapkan dokumen tawaran mengikut tarikh yang ditetapkan bagi memastikan wang pinjaman dapat diterima dengan cepat," katanya.

Berita Harian X