Ahad, 28 Ogos 2016 | 3:23pm

Jumlah penuntut baharu UMT meningkat

KUALA NERUS: Seramai 2,845 penuntut ijazah sarjana muda daripada 27 program pengajian termasuk sains dan sains sosial mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata jumlah penuntut yang mendaftar tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu selaras saranan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya universiti meningkatkan bilangan penuntut baharu setiap tahun.

Beliau berkata, tahun ini juga UMT amat berbesar hati kerana menerima lima penuntut Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Bagaimanapun, tahun ini jumlah penuntut baharu dalam bidang sains yang menjadi tunjang UMT menunjukkan penurunan ketara berbanding tahun lalu. Saya dimaklumkan, universiti lain turut mengalami masalah sama manakala jurusan sastera atau sains sosial meningkat.

"Kita akan cuba menyediakan kemudahan terbaik untuk penuntut supaya mereka dapat belajar dalam suasana dan kondusif. Penuntut OKU tidak perlu risau kerana kemudahan di sini mesra untuk mereka," katanya ketika ditemui pada Pendaftaran Pelajar Baru (Ijazah Sarjana Muda) Sesi 2016/2017, di sini hari ini.

Katanya, penuntut baharu akan menjalani Minggu Jalinan Mesra (MJM) 2016 selama tiga hari bermula hari ini dengan pelbagai pengisian program termasuk transformasi diri dan suai kenal.

Berita Harian X