Ahad, 28 Ogos 2016 | 12:03am
SEBANYAK 376 pendaratan penyu agar dalam tempoh enam bulan 2016.

Membelai, membelek sang penyu di Pantai Cherating


AKTIVITI melepas anak penyu ke laut dilakukan di PKPP Cherating.

MELEPASKAN anak penyu ke laut menjelang senja ternyata menjadi produk utama yang dapat mengamit kehadiran pelancong untuk berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, Pahang.

Pusat itu kini menjadi antara produk pelancongan utama di Pahang yang memberi peluang kepada pengunjung melihat lebih dekat penyu anak dan dewasa selain mengetahui sejarah haiwan purba itu.

Pastinya ia juga memberi nilai tambah kepada pelancong yang kebiasaannya menghabiskan cuti di pantai Cherating.

Kedudukannya yang menghadap Laut China Selatan memberi peluang kepada pelancong melawat mini muzium hidupan laut yang menempatkan replika penyu, dugong, gamat dan pelbagai jenis karang laut.

Selain itu pelancong juga berpeluang melihat penyu jenis agar dewasa di dalam kolam sambil memberinya makan kobis yang disediakan pihak pengurusan pusat berkenaan serta kolam yang menempatkan kura-kura dan tuntong.  


SEBANYAK 8,231 anak penyu sudah dilepaskan ke laut tahun ini.

Seronok, puas dan kesayuan

Bagi Sharifah Hazirah Syed Mohd Jufferi, 31, beliau tidak menyangka kunjungan kali pertama ke PKPP Cherating memberi peluang kepadanya melihat penyu jenis agar yang ditempatkan dalam kolam sambil memberinya makanan.

Katanya, kenangan paling manis ialah apabila dapat memegang anak penyu berumur empat hari sebelum melepaskannya ke laut, dengan laju anak penyu berkenaan berenang sambil melawan ombak.

"Pelancong yang datang ke sini pasti seronok dan berpuas hati apabila dapat memegang dan melepaskan anak penyu ke laut. Peluang macam ini bukan mudah untuk diperoleh melainkan berkunjung ke pusat berkenaan.

"Perasaan sayu muncul apabila melihat anak penyu berenang sambil melawan ombak, kenangan sepetang berada di PKPP Cherating tidak mungkin dapat dilupakan oleh setiap pelancong.

"Melawat mini muzium hidupan laut juga dapat menambahkan lagi pengetahuan mengenai penyu dan beberapa hidupan laut lain seperti dugong dan gamat," katanya yang berasal dari Temerloh, Pahang.


PELANCONG pasti seronok dan berpuas hati apabila dapat merasai pengalaman memegang dan melepaskan anak penyu ke laut.

Teruja pegang anak penyu

Iskandar Tajudin, 24, kali pertama sampai di PKPP Cherating berkata beliau teruja melihat beberapa ekor penyu jenis agar dewasa berada dalam kolam, reptilia berkenaan jinak dan makan makanan yang diberikan.

"Pelancong yang datang ke situ sememangnya bertuah apa dapat melihat penyu dewasa dan anak yang tidak terdapat di pusat pelancongan lain, saya begitu teruja apabila diberi peluang memegang anak penyu dan melepaskanya ke laut.

 PKPP Cherating adalah produk pelancong yang begitu terkenal di negara ini dan antarabangsa, usaha meletakannya pada kedudukan lebih tinggi perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh oleh agensi bertanggungjawab," katanya dari Kuala Lumpur.

FAKTA NOMBOR:

* 8,231 - Anak penyu dilepaskan ke laut tahun ini

* 376 - Pendaratan penyu agar dalam tempoh enam bulan 2016.

* 516 - Pendaratan penyu agar pada tahun 2013.

* 43,720 - Jumlah telur dihasilkan penyu agar pada tahun 2013

INFO:

Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating,
KM 45, Jalan Kuantan - Kemaman,
26080 Kuantan, Pahang
Tel : 09-5819087
Fax : 09-5819124.

Berita Harian X