Sabtu, 27 Ogos 2016 | 2:03pm

eRezeki, eUsahawan catat pendapatan RM19.5 juta


Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin (kiri) menerima cenderamata daripada Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Razaleigh Zainal (kanan) selepas merasmikan program jelajah #YOUCANDUIT peringkat Pahang.

KUANTAN: Program eRezeki dan eUsahawan menerusi kempen #YOUCANDUIT kendalian Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merekodkan pendapatan kira-kira RM19.5 juta selepas empat bulan dilancarkan.

Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Korporat MDEC, Razaleigh Zainal, berkata sejumlah RM12.66 juta direkodkan bagi program eUsahawan manakala RM6.9 juta untuk eRezeki membuktikan kejayaannya membantu peserta meningkatkan pendapatan.

"Kita menyasarkan perolehan pendapatan RM36 juta bagi kedua-dua program sehingga hujung tahun ini iaitu RM21 juta bagi eUsahawan manakala RM15 juta untuk eRezeki.

"Kira-kira 100,000 peserta disasarkan menyertai program terbabit dan mereka akan dilatih kaedah mengendalikan perniagaan serta ekonomi digital berasaskan inovasi meluas," katanya berucap pada majlis perasmian program jelajah #YOUCANDUIT peringkat Pahang, di sini, hari ini.

Jelajah dua hari berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Razaleigh berkata, e-dagang adalah antara platform berpotensi untuk memberi pulangan lumayan kepada mereka yang memanfaatkannya.

"Kempen #YOUCANDUIT bertujuan memperkenalkan program eRezeki dan eUsahawan yang berjaya menjana pendapatan tambahan, selain menjadi aspirasi negara merakyatkan ekonomi digital serta menaik taraf ekonomi seseorang," katanya.

Program eUsahawan adalah inisiatif MDEC untuk menginstitusikan keusahawanan digital melalui Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) selain membantu usahawan mikro bagi memanfaatkan peluang ekonomi serta pemasaran perniagaan dalam talian.

Berita Harian X