Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:17am

Empat slot automatik 4 liga utama Eropah

MONACO: Empat liga utama Eropah akan diberikan empat slot automatik ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bermula musim depan, UEFA mengesahkannya sebentar tadi.

Perubahan itu membabitkan empat saingan domestik iaitu La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman), Liga Perdana Inggeris (England) dan Serie A (Itali), dan ia berkuat kuasa sehingga kempen 2021.

Buat masa ini, hanya tiga saingan liga - Sepanyol, England dan Jerman - diberikan tiga tiket automatik ke peringkat kumpulan, dengan pasukan keempat perlu melalui pusingan kelayakan.

Itali pula meraih dua slot dengan pasukan ketiga memasuki pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Perubahan itu hadir selepas kelab-kelab utama Eropah membincangkan kemungkinan untuk membentuk saingan Liga Super walaupun tanpa kebenaran UEFA.

Bagaimanapun, UEFA enggan memberi jaminan tempat automatik buat beberapa kelab besar, satu lagi kemungkinan yang dikatakan sumber terdekat sudah dibincangkan dalam mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.

Beberapa kelab besar, seperti Manchester United, Liverpool, Inter Milan dan AC Milan, terlepas saingan peringkat kumpulan musim ini selepas memperagakan keputusan hambar dalam saingan liga masing-masing. - AFP

Berita Harian X