Khamis, 25 Ogos 2016 | 5:38pm

UMP jalin kerjasama dengan industri

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalin kerjasama dengan 60 syarikat tempatan dalam program Ramah Mesra Bersama-sama Industri, di sini hari ini.

Objektif kerjasama itu adalah bagi membincangkan prospek bidang pendidikan dan penyelidikan termasuk mengetahui kemahiran pekerja yang dikehendaki oleh industri.

Selain jalinan dengan syarikat tempatan, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata UMP juga komited mencari keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan di peringkat antrabangsa.

"UMP terus mendapat kepercayaan institusi dari Jerman, Karlsruhe University of Applied Science (HsKA), dalam menjalin hubungan kerjasama akademik dalam program kejuruteraan bertaraf dunia.

"UMP dan HsKA sebelum ini berjaya menawarkan program dwijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.

"Kerjasama itu kini diperluas dengan penawaran program dwiijazah sarjana dalam bidang kejuteraan automotif yang boleh dimanfaatkan golongan profesional di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis itu, sebentar tadi.

Sebelum ini, UMP turut menganjurkan Program CEO@Faculty Programme untuk berkongsi pengalaman dan pengetahun berkaitan dunia korporat bersama-sama universiti.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib.

Berita Harian X