Khamis, 25 Ogos 2016 | 8:11am

KPWKM bantu hadapi cabaran dunia kerjaya

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan program psikologi dan pendidikan bagi membantu wanita berkerjaya untuk memastikan mereka bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia kerjaya.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata program itu bertujuan membantu mereka yang berkerjaya mengimbangi tanggungjawab bekerja dengan keluarga.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya mahu meningkatkan kemahiran wanita dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga, selain mendidik anak secara lebih kreatif.

"Menyedari cabaran yang dihadapi pasangan suami isteri berkerjaya dan kekangan masa, KPWKM menyediakan kursus keibubapaan, program Keluarga@Kerja atau Parenting@Work yang diperkenalkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sejak 2007.

Bantu imbangi tekanan

"Program kesejahteraan emosi pula bertujuan memberi pendedahan kaunseling keluarga secara humanistik menerusi psikologi dan pengurusan emosi berkesan dalam membantu wanita mengimbangi tekanan," katanya kepada BH dalam temu bual baru-baru ini sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016, yang disambut hari ini.

Bertemakan 'Sepadu Usaha - Tiada Wanita Ketinggalan' yang dipilih sebagai tema, sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga dijadualkan menyampaikan sijil penghargaan kepada 70 syarikat yang mencapai agenda 30 peratus pada majlis yang bermula pada jam 2 petang itu.

Tema dipilih memberi mesej jelas bagi memastikan setiap wanita mencapai potensi yang paling optimum, bertepatan dengan komitmen Malaysia untuk terus memperkasa wanita ke arah kesaksamaan gender.

Kerja mesra wanita

Rohani berkata, program Keluarga@Kerja adalah antara usaha kementerian dalam mewujudkan persekitaran kerja mesra wanita bagi membolehkan golongan terbabit terus kekal sebagai tenaga kerja.

"Kita menyedari kurangnya sistem sokongan yang menjadi halangan utama kepada wanita untuk terus kekal dalam tenaga kerja terutama selepas melahirkan anak," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan terus menggalakkan majikan menyediakan pusat jagaan dan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang disifatkan sebagai sistem sokongan penting dalam memastikan wanita yang mempunyai anak kekal dalam pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat keperluan mewujudkan TASKA di semua sekolah di negara ini bagi dimanfaatkan bukan sahaja kepada guru tetapi juga wanita berkerjaya lain yang berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pengasuh atau pembantu rumah.

"Perkara ini akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan secepat mungkin supaya setiap sekolah mempunyai kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa bekerja bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

"Mungkin tidak semestinya dalam kawasan sekolah tetapi berhampiran atau di sekitar kejiranan terdekat supaya ibu bapa yang bekerja ini tidak perlu bimbang dengan anak mereka jika dalam keadaan tertentu tidak dapat mengambil anak pulang dari sekolah," katanya.

Capai potensi optimum

Sementara itu, Rohani mengalu-alukan kehadiran orang ramai pada sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 yang akan diadakan di PICC, hari ini.

Tema 'Sepadu Usaha -Tiada Wanita Ketinggalan dipilih bagi memberi mesej jelas dalam memastikan semua wanita mencapai potensi paling optimum selaras dengan komitmen negara untuk memperkasakan golongan berkenaan.

Berita Harian X