Khamis, 25 Ogos 2016 | 12:02am

Aristokra dibayangi Lord of The Ring


AHMAD Patria bersama karya terbarunya, Aristokra: Kronika Nashan.

SESUATU yang sukar dibuang sepanjang membaca Aristokra: Kronika Nashan karya Ahmad Patria Abdullah ini adalah untuk tidak berfikir tentang filem Lord of The Ring.

Kegagalan untuk memisahkannya daripada mengingati filem yang diangkat daripada karya JRR Tolkien itu bertambah apabila pengaruhnya kelihatan terlalu kuat dalam novel hinggakan terdapat dialog bahasa bunian persis filem berkenaan.

Karya ini lebih baik jika pengaruh Lord of The Ring atau mungkin Clash of The Titan tidak menjadi sangat besar, apatah lagi ia karya penulis berpengaruh dengan sentuhan genre fantasi dan sains fiksyen. Mungkin hanya saya terfikir sejauh itu kerana naskhah ini berjalan sangat baik, kemas, teratur dan meyakinkan.

Ahmad Patria membina novel ini dengan bahasa yang sangat indah dan penceritaan yang tidak hilang magisnya sejak kali pertama mengenali karya beliau yang diterbitkan sekitar 1980-an.

Naskhah ini sebuah permulaan kepada perjalanan kisah pemerintah muda, Melyn yang berasal daripada golongan aristokrat di Nashan yang meminta bantuan berikutan ancaman Sursis terhadap wilayahnya.

Perjalanan hidup Nashan

Siri seterusnya akan menjelaskan kepada pembaca apa sebenarnya yang akan terjadi kepada Nashan, sekali gus membentangkan perjalanan hidupnya.

Justeru, persoalan apa yang terjadi pada kisah awal pada pembukaan naskhah ini dan kedudukan Nashan yang nazak diserang Sursis akan terus merusuh dalam diri pembaca.

Ada banyak kisah lain yang dijalin sangat kemas oleh pengarangnya dalam naskhah ini antaranya kisah pahlawan dari Armorikus, sejarah Nashan dengan Shilrung dan Bulwar, Krodra serta pasti sahaja tentang Melyn.

Fiksyen sains memang genre yang menarik untuk diterokai, tetapi dalam genre itu sendiri terdapat banyak sub-genre dan terpulanglah kepada selera pembaca untuk menikmatinya.

Namun di negara ini, rasanya tidak sah kalau mengaku sebagai penggemar fiksyen sains jika meninggalkan karya tulisan Ahmad Patria termasuk novel ini.

Berita Harian X