Rabu, 24 Ogos 2016 | 4:10pm

Semangat cinta negara diterjemah dalam lukisan


MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 membentuk susunan 59 bendera Jalur Gemilang di perkarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2, Pasir Gudang. - Foto Nurul Amanina Suhaini

PASIR GUDANG: Kejayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 dekat sini, membentuk susunan 59 bendera Jalur Gemilang dalam masa tiga minggu, bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan ke-59 negara.

Usaha 574 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam termasuk 27 murid pendidikan khas bagi menyiapkan bendera berukuran 40 meter x 60 meter itu menyemarakkan bulan kemerdekaan, sekali gus mewujudkan semangat kekitaan dalam diri anak muda.

Ketua Panitia Sejarah SK Taman Rinting 2, Ilham Ismail, berkata idea menghasilkan bendera daripada kain putih itu antara usaha pihak sekolah bagi mewujudkan kerjasama antara murid demi mencapai perpaduan menerusi permuafakatan bangsa Johor sendiri.

"Murid diibaratkan sehelai kain putih, dan menjadi tanggungjawab guru bagi mencorakkan peribadi mereka menerusi pendidikan secara tidak formal, sekali gus menyuburkan semangat kemerdekaan dalam jiwa.

"Sekolah menjadi platform bagi menyuntik semangat patriotik dalam diri murid," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ilham yang juga penyelaras Projek 59 Jalur Gemilang itu berkata, kesungguhan dan komitmen murid menjadi simbolik kebanggaan rakyat Malaysia kekal di tanah bebas seperti warna mural pada kain terbabit.

Berita Harian X