Sabtu, 20 Ogos 2016 | 1:44am

Ayah V Shem tetap bangga


IBU bapa Goh V She, Goh dan Ng Ley Kim. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bapa Goh V Shem tetap bangga dengan pencapaian anaknya itu biarpun tewas dalam aksi final beregu lelaki Olimpik Rio 2016, sebentar tadi.

Bapanya, Ricky Goh, berkata kejayaan mara ke final sudah cukup membanggakan apa lagi selepas V Shem dan gandingannya, Tan Wee Kiong hadir di bumi Rio de Janeiro, Brazil sebagai pasangan bukan pilihan.

"Tiada apa yang perlu dikecewakan kerana V Shem-Wee Kiong sudah berjuang habis-habisan dan kejayaan mara ke final juga cukup membanggakan bagi saya.

"Mereka main sangat bagus tetapi perlu diingat beregu China ranking nombor empat dunia, V Shem-Wee Kiong pula ranking ke-12, jadi tiada apa yang perlu dikecewakan," kata Ricky kepada pemberita selepas menyaksikan secara langsung perlawanan final di kediamannya di sini, malam tadi.

V Shem-Wee Kiong memberikan cabaran sengit kepada gandingan Fu Haifeng-Zhang Nan dari China sebelum tewas 21-16, 10-21, 21-23 dalam aksi final.

Ricky, berkata dia langsung tidak meletakkan sebarang harapan tinggi kepada V Shem-Wee Kiong untuk Olimpik kali ini kerana sedar cabaran sukar menanti pasangan negara itu.

"Kalau mereka membawa pulang gangsa sekalipun saya sudah cukup gembira. Perak yang dimenangi hari ini pun sudah dikira sebagai bonus," katanya.

Kejayaan memenangi perak membolehkan V Shem-Wee Kiong meletakkan nama mereka sebaris legenda beregu lelaki negara yang pernah membawa pulang pingat daripada temasya berprestij dunia itu.

Razif-Jalani Sidek memenangi gangsa di Barcelona 1992, temasya yang menyaksikan badminton pertama kali dipertandingkan di Olimpik.

Kecemerlangan pasangan adik beradik itu kemudian diteruskan pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang meraih perak di Atlanta 1996.

Berita Harian X