Jumaat, 19 Ogos 2016 | 6:28pm

Boon Siew Honda umum 4 motosikal EEV

KUALA LUMPUR: Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan empat model motosikal pemasangan tempatan (CKD) menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut BSH, model itu ialah Honda EX5 Fi, Future Fi, Wave Dash (Fi) dan Wave Alpha yang menggunakan 1.8 liter bagi setiap 100 kilometer (km) atau 18% lebih jimat berbanding dengan penanda aras EEV.

"Pada masa ini, 83 peratus pengeluaran motosikal BSH adalah EEV yang merangkumi empat model terbabit.

"BSH akan terus memperkenalkan model baharu yang memenuhi EEV standard sejajar dengan dasar kerajaan Malaysia untuk mencapai 85 peratus EEV daripada jumlah pengeluaran kenderaan menjelang 2020," menurutnya dalam satu kenyataan.

Bagi motosikal dengan enjin antara kapasiti 101cc hingga 150cc, sijil EEV akan diberi kepada model yang menggunakan bahan api kurang daripada 2.2 liter bagi setiap 100 km.

EEV adalah kenderaan yang memenuhi standard pelepasan karbon dan penggunaan bahan api yang ditetapkan oleh Institut Automotif Malaysia (MIA) dalam Dasar Automotif Baharu (NAP) pada 2014.

Mengulas lanjut, BSH berkata, sebagai pengeluar motosikal pertama yang mendapat kelulusan standard EEV, BSH akan terus membekalkan lebih banyak produk motosikal dengan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang rendah dan cekap bahan api.

"Semua inisiatif ini menunjukkan komitmen BSH untuk menyelamatkan alam sekitar di Malaysia susulan visi alam sekitar Honda," katanya.

Berita Harian X