Jumaat, 19 Ogos 2016 | 11:47am
PERKHIDMATAN media sosial global, Twitter. - Foto AFP

Promosikan keganasan, Twitter tutup 235,000 akaun

SAN FRANCISCO: Perkhidmatan media sosial global, Twitter, berkata ia menutup sehingga 235,000 akaun kerana menyebarkan ideologi keganasan sejak tempoh enam bulan lalu.

Penutupan itu menyusul selepas serangan ganas besar-besaran, kata Twitter.

"Hari ini, kami mengumumkan penggantungan 235,000 akaun kerana melanggar dasar kami berkaitan mempromosikan keganasan dalam masa enam bulan sejak Februari 2016," menurut kenyataan Twitter.

Ia adalah langkah terbaru gergasi teknologi itu sejak ia mula mengesan salah guna media sosial oleh anggota pengganas dan penyokongnya tahun lalu.

Keseluruhan bilangan akaun yang ditutup sejak Jun 2015 kini berjumlah 360,000.

Twitter didorong bertindak kepada penggunaan perkhidmatan itu oleh mereka yang berkongsi propaganda pengganas berikutan serangan yang menggegarkan Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat.

"Sejak pengumuman itu, dunia menyaksikan gelombang serangan ganas di seluruh dunia.

"Kami mengutuk keras tindakan ini dan kekal komited menghapuskan usaha mempromosikan keganasan di saluran ini," kata Twitter.

Berikutan serangan berganda di lapangan terbang dan stesen kereta api bawah tanah di Brussels pada Mac 2016, tweet mengenai ancaman seterusnya mula merebak di online, termasuk Twitter. - AGENSI

Berita Harian X