Rabu, 19 November 2014 | 5:00pm
Samson (kanan) dan Pengarah Wilayah ASEAN Peugeot, Vincent Comyn pada pembukaan Peugeot Ipoh Garden.- Foto Supian Ahmad

Peugeot buka cawangan ke-35 di Ipoh

IPOH: Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, merancang membawa masuk dua lagi model baharu kenderaan itu tahun depan bagi mengukuhkan lagi pasaran jenama itu di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi, Datuk Samson Anand George, berkata model baharu berkenaan dalam segmen C dan D.

Model berkenaan akan menokok segmen C sedia ada, Peugeot 308 yang dinobatkan sebagai Kereta Eropah Tahunan 2014 pada Pameran Motor Geneva ke-84 awal tahun ini.

"Kami teruja menanti 2015, tahun yang penuh harapan," katanya pada pelancaran pusat jualan Peugeot Ipoh Garden di sini hari ini.

Samson berkata, Peugeot Ipoh Garden adalah cawangan kelima tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 35 cawangan.

Selain Ipoh Garden, empat lagi cawangan cawangan yang dibuka tahun ini ialah di Desa Pandan, Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang serta Johor Bahru dan Muar di Johor dengan pelaburan keseluruhan RM15 juta.

"Perak adalah pasaran keempat terpenting bagi Peugeot dengan pertumbuhan tahunan sekitar lima peratus," katanya.

Peugeot Ipoh Garden yang mempunyai keluasan kemudahan 600 meter persegi akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan sekitar Ipoh, Batu Gajah, Chemor, Gopeng, Jeram, Kampar, Kampung Kepayang, Lahat, Malim Nawar, Mambang Diawan, Mengelembu, Pusing, Tanjung Rambutan, Tronoh dan Ulu Kinta.

Berita Harian X