Rabu, 17 Ogos 2016 | 5:19pm
BEKAS Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tindakan Mukhriz memalukan

KUANTAN: Tindakan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mencapai cita-cita politiknya adalah memalukan.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah, berkata pendedahan bekas Pegawai Khas (Politik) Mukhriz, Haris Che Mat, kelmarin bahawa perjuangan politik Mukhriz itu hanya untuk menjadi Perdana Menteri dengan pantas, tidak dapat diterima.

Katanya, tindakan mahu mencapai cita-cita dengan menjatuhkan Najib tidak melambangkan ciri pemimpin berjiwa besar.

"Meletakkan kepentingan peribadi lebih daripada keamanan negara dan penyatuan rakyat khususnya orang Melayu mencerminkan betapa beliau yang dibantu bapanya (Tun Dr Mahathir Mohamad) mementingkan diri sendiri.

"Selepas dilantik Datuk Seri Najib sebagai Menteri Besar Kedah, beliau (Mukhriz) sanggup 'tikam belakang' semata-mata demi memenuhi keinginan peribadi untuk memegang takhta Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Shahar berkata, tindakan Dr Mahathir dan beberapa bekas pemimpin UMNO mewujudkan parti baharu akan mewujudkan bencana politik besar kepada orang Melayu.

Katanya, mereka berbuat demikian demi kepuasan untuk mendapatkan kuasa dan kebencian peribadi terhadap Najib.

"Tindakan ini tidak boleh diterima dan keputusan akar umbi memecat Mukhriz daripada UMNO adalah tepat kerana UMNO tidak memerlukan individu yang tidak mendukung roh perjuangan parti," katanya.

Berita Harian X