Selasa, 16 Ogos 2016 | 12:42am
ATLET kelahiran Kenya, Ruth Jebet menghasilkan larian menakjubkan untuk menghadiahkan Bahrain pingat emas. - Foto AP

Olimpik: Jebet beri emas pertama buat Bahrain

RIO DE JANEIRO: Atlet kelahiran Kenya, Ruth Jebet menghasilkan larian menakjubkan untuk menghadiahkan Bahrain pingat emas pertama di temasya Olimpik Rio selepas memenangi acara 3,000 meter (m) lari berhalangan wanita, hari ini.

Jebet merakamkan masa yang memecah rekod Asia, 8 minit 59.75 saat (s), kurang dua saat untuk memecahkan rekod dunia.

Penyandang juara dunia, Hyvin Kiyeng Jepkemoi dari Kenya meraih pingat perak dengan catatan 9:07.12s manakala pelari Amerika Syarikat, Emma Coburn memenangi gangsa dengan catatan (9:07.63).

"Saya gembira untuk menjadi pemenang pingat emas, ia adalah percubaan pertama saya untuk meraih pingat dan saya gembira," kata Jebet.

"Hari ini terlalu panas buat semua atlet, tidak mudah untuk berlari dengan catatan yang baik namun saya cuba melakukan yang terbaik dan balapan juga bagus.

"Semalam, saya menyaksikan rekod dunia dalam acara 400m (oleh Wayde van Niekerk) dan 10,000m juga catatan rekod dunia jadi saya fikir mengapa tidak rekod dunia buat saya."

Dalam pada itu, Jebet berkata pegawai pasukan rasmi Bahrain sememangnya berkeyakinan tinggi dia mampu menghadiahkan pingat untuk negara itu.

"Ia adalah pingat emas pertama untuk Bahrain," katanya.

"Mereka melihat saya berlari di Liga Berlian dan bagaimana saya melakukannya di sana, dan mereka memberitahu saya apabila saya datang yang 'kami yakin dengan kamu, kami akan mendapat pingat',." - AFP

Berita Harian X