Selasa, 16 Ogos 2016 | 12:07am

Tahan lasak, kalis hentakan

KISAH G-Shock boleh dianggap sebagai satu fenomena global apabila ia memberi persepsi baharu terhadap penghasilan jam tangan lasak kerana ketahanannya yang tidak mudah rosak mahu pun pecah akibat kejutan graviti.

   G-Shock atau singkatan kepada Gravitational Shock bermula pada tahun 1983 dengan kejayaan pengeluarnya, Casio menghasilkan jam tangan yang tetap utuh walaupun selepas jatuh dari ketinggian sehingga 10 meter.

   Ketua Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan, Casio, Kikuo Ibe atau lebih dikenali sebagai 'Father of G-Shock' adalah orang yang bertanggungjawab di sebalik terciptanya jam tangan yang dikatakan paling kuat dan kukuh di dunia ini selepas mendapat inspirasi daripada lantunan bola getah yang anjal selepas terjatuh.

Persekitaran lasak

Kikuo sendiri tidak pernah menyangka jam tangan yang pada awalnya menyasarkan mereka yang bekerja dalam persekitaran lasak kini menjadi satu jenama besar dan mempunyai peminat tersendiri di seluruh dunia.

   "Paling mengejutkan apabila ia mula diminati golongan muda pada tahun 1990-an, berikutan G-Shock memperkenalkan warna pada tali dan muka jam. Sejak itu kami mula berani untuk menampilkan lebih banyak warna sebagai memberi lebih banyak pilihan kepada mereka," katanya kepada Aura baru-baru ini.

   Kikuo berada di ibu negara Julai lalu sempena pelancaran model terbaru edisi terhad G-Shock MRG-G1000HT atau juga dikenali sebagai 'Hammer Tone'.

   Kikou berkata, biarpun menyedari G-Shock semakin mendapat perhatian dalam kalangan orang muda yang meminati jam tangan ini kerana gayanya yang semakin 'trendy' berbanding di awal kemunculannya, ciri asalnya yang kalis daripada sebarang hentakan tetap menjadi keutamaan dalam penghasilan produk ini.

Penuhi kehendak orang muda

 

"Malah kumpulan pakar jurutera muda kami sentiasa cuba memenuhi kehendak golongan muda ini bagi disesuaikan dengan persekitaran dan gaya hidup lasak mereka dalam setiap rekaan terkini kami.

    "Tumpuan kami masih kepada ciri teknikal dan selebihnya barulah membabitkan warna, reka bentuk serta gaya terkini," katanya.

   Ditanya mengenai jangka hayat setiap jam tangan di bawah jenama ini, Kikuo berkata, sememangnya ia dicipta untuk bertahan dalam situasi lasak bagi mengelakkan ia daripada rosak atau pecah.

   "Selagi ia tidak rosak atau pecah selagi itu jangka hayatnya akan bertahan tetapi anda perlu untuk tukar baterinya 10 tahun sekali.

   "Sepanjang pengetahuan saya sehingga kini belum pernah mendengar ada model G-Shock yang pecah atau rosak," katanya yang masih menyimpan dengan baik model pertama ciptaannya, DW5000.

Kikuo berkata, jam tangan berkenaan adalah model yang paling digemarinya kerana ia adalah usaha keras beliau yang banyak meninggalkan pelbagai kenangan suka dan duka sebelum berjaya menghasilkan G-Shock.

Seni halus Jepun

  

Berkongsi kehebatan dalam model terbaru G-Shock, MRG-G1000HT, beliau berkata ia bukan saja memiliki teknologi paling termaju tetapi turut menggabungkan kehalusan seni tangan tempatan Jepun, tsuiki.

   Katanya, Hammer Tone dilengkapi sistem penjagaan masa termaju yang mampu menerima isyarat satelit Sistem Pengesanan Globa (GPS) dan gelombang radio ketepatan masa yang mampu memaparkan masa dengan tepat dalam zon waktu tertentu di sesebuah negara.

   "Ia juga mampu menukarkan tenaga solar kepada kuasa elektrik menjadikan ia tidak perlu menggunakan banyak kuasa bateri selain mampu mengesan ketinggian, kedalaman dan suhu," katanya mengenai jam edisi terhad yang hanya dikeluarkan 300 di seluruh dunia sempena ulang tahun ke-20 terciptanya siri MRG ini.

   Model mewah ini yang berharga RM26,699 menyasarkan mereka dalam lingkungan usia 30 dan 40-an yang mengikuti mula perkembangan jenama ini sejak awal kemunculannya dan menghargai kewujudan G-Shock.

Info: G-Shock
* G-Shock direka khusus untuk aktiviti sukan, ketenteraan dan kegiatan luar yang lasak.
* Popular dalam kalangan pendaki gunung, pasukan bomba, polis, angkasawan dan tentera.
* Mendapat perhatian tentera Amerika Syarikat untuk kegunaan di medan perang selepas peristiwa serangan Blackhawk Down pada tahun 1993.

Berita Harian X