Selasa, 18 November 2014 | 6:53pm
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Roslan Khamis

Presiden PBNJ mahu hak siaran diberi kepada semua pasukan Liga-M

JOHOR BAHRU: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulangi cadangan supaya setiap pasukan dan kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M) diberi hak penyiaran perlawanan.

Baginda bertitah bayaran hak penyiaran oleh penaja dilihat mampu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi setiap tahun oleh setiap pasukan termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kunci untuk pembangunan bola sepak dan peningkatan kualiti dalam sesebuah pasukan di Malaysia ini adalah (diberi) hak siaran berbayar," titah baginda pada sidang media di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, di Larkin, hari ini.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) bertitah sekiranya setiap pasukan menerima hak siaran berbayar itu, ia akan memudahkan lagi mereka meningkatkan kualiti pemain dan pengurusan pasukan.

Tunku Ismail bertitah hak siaran berbayar tersebut pada masa ini dipegang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kemudian mengagihkan jumlah insentif tertentu kepada semua persatuan dan kelab.

"Sepatutnya, bukan FAM yang patut salurkan (bayaran hak siaran), sebaliknya setiap pasukan yang patut menerima terus daripada penaja," titah baginda.

Menurut baginda, liga bola sepak luar negara seperti di Jerman, Australia, Jepun atau Korea, peningkatan dan pembangunan bola sepak mereka banyak dibantu bayaran yang diterima melalui hak siaran itu.

Tunku Ismail mendakwa PBNJ hanya disalurkan RM1 juta sahaja setahun untuk hak penyiaran.

Menjawab soalan pemberita mengenai jumlah tajaan yang sepatutnya diterima oleh setiap pasukan, Tunku Ismail bertitah setiap pasukan Liga Super patut menerima sekurang-kurangnya RM3 juta hingga RM4 juta, bagi Liga Perdana RM2 juta-RM3 juta dan Liga FAM pula RM1 juta.

Sementara itu baginda turut mengalu-alukan keputusan FAM untuk menangguhkan setahun penswastaan Liga Malaysia.

Katanya, langkah untuk menswastakan Liga-M amat dialu-alukan tetapi masih ada pasukan negeri dan kelab yang belum bersedia dan yakin dengan tempoh dua tahun lagi sebelum dilaksanakan pasti memberi ruang kepada semua pasukan membuat persiapan rapi.

Semalam, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad mengesahkan cadangan Liga-M diswastakan pada musim depan terpaksa ditangguhkan ke 2016 bagi memastikan semua pasukan lebih bersedia

Ketika sama persatuan negeri dan kelab perlu memenuhi kriteria utama iaitu wajib mendapatkan lesen seperti dilaksanakan oleh liga profesional di luar negara. -BERNAMA

Berita Harian X