Jumaat, 12 Ogos 2016 | 12:00am

Prihatin dan awasi produk kosmetik beracun


KOSMETIK yang mengandungi bahan terlarang dan merbahaya. - Gambar hiasan

SOALAN:

Ketika ini lambakan produk kecantikan di pasaran. Masing-masing mendakwa mereka yang terbaik untuk kulit ayu jelita. Apakah bahan yang patut kita ketahui berbahaya pada produk dikeluarkan.
Alisya Khaisyara
Subang Jaya, Selangor

JAWAPAN:

Setiap wanita impikan kulit yang halus, gebu dan cerah bagi memastikan penampilan lebih menyerlahkan kejelitaan dan menawan.

Tidak hairan jika wanita akan mencuba pelbagai jenama produk kecantikan di pasaran yang menjanjikan kulit gebu dan licin, putih, menanggalkan bintik hitam, jerawat, jeragat, kedut dan sebagainya.

Banyak wang ringgit dibelanjakan untuk tujuan ini. Tetapi malangnya di dalam beberapa kes, muka bukan bertambah cantik tetapi menjadi rosak, lebih teruk daripada yang asal. Lebih malang lagi kesihatan diri turut terjejas.

Semuanya ini memang berlaku setiap hari kerana ketidakprihatinan pengguna yang membeli produk kecantikan yang tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan, tanpa usul periksa.

Raksa atau merkuri dan tretinoin/Ratin-A antara bahan berbahaya digunakan dalam produk.

Raksa atau merkuri

Iaitu logam berat yang sangat beracun. Seperti hidrokuinon. Lazimnya digunakan dalam produk kecantikan sebagai agen pemutih kulit wajah. Penggunaannya boleh memberi kesan kepada kelunturan warna asal kulit individu.

Ia sangat bahaya walaupun digunakan sedikit kerana mudah menyerap ke dalam saluran darah.

Kesan penggunaan raksa boleh mengakibatkan gangguan saraf, kerosakan ginjal, gangguan otak, mematikan sel darah dan mencacat janin.

Tretinoin/Ratin-A

Ia digunakan untuk menghalang atau merawat jerawat. Bagaimanapun, penggunaan berbahaya pada kulit, iaitu boleh mengakibatkan kulit kering, rasa seperti terbakar, kulit menggelupas, kemerahan, sensitif dan mencacat janin.

Oleh itu, individu perlu mengenal pasti dan mengetahui bahan yang beracun ini supaya tidak terperangkap dengan janji manis pengiklan dan pengeluar produk tertentu.

Ada antara mereka sanggup buat apa saja bagi mengaburi pengguna yang mahu mendapatkan penampilan menawan atau melakukan rawatan wajah.

Perlu prihatin

Mengikut peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984, semua produk kosmetik hendaklah didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan untuk diuji dan disahkan selamat, berkesan dan berkualiti sebelum dipasarkan kepada pengguna. Produk yang diluluskan akan diberi 'notification note' pada setiap produk sebagai contoh NOT12345678K .

Nombor itu kebiasaannya tercatat pada setiap botol atau kotak pembungkus setiap produk. Pengguna produk kosmetik boleh memeriksa sendiri kesahihan produk dengan melayari www.bpfk.com

Info : Memutihkan kulit menggunakan bahan semula jadi:

* Limau - mengandungi vitamin C boleh membantu menghapuskan parut hitam di muka.

* Betik- kaya dengan nutrien seperti Vitamin C

* Tomato - kandungan likopen dapat membetulkan tekstur dan mengekalkan keremajaan

* Beras - mengandung pitera yang banyak ada di produk kecantikan berharga

* Lidah buaya - mengelakkan jeragat dan memulihkan warna kulit muka semula jadi kulit.

* Soya mengandungi - isoflavon boleh mengelakkan penuaan awal.

Berita Harian X