Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:04am

Waspada punca yang menyebabkan akidah terbatal

SOALAN: Boleh Dr jelaskan kepada saya mengenai definisi murtad? Sebab saya agak keliru mengenai maksudnya. Tambahan pula ramai yang mempermain-mainkan perkataan tersebut.

JAWAPAN: Dari aspek Syariat, murtad bermaksud berazam untuk berpindah daripada agama Islam kepada agama selain Islam. Ulama Mazhab Syafie mentakrif kan murtad sebagai satu azam untuk memutuskan Islam dengan niat, ungkapan, perbuatan yang memberi maksud kufur dan keluar daripada Islam. Selain mazhab Syafie, Mazhab Hanbali juga turut mentakrifkan murtad sebagai perbuatan dan percakapan kufur yang dilakukan oleh seseorang Muslim secara sukarela walaupun dengan gurauan.

Ini kerana punca murtad tidak boleh dibuat main dengannya. Mazhab Hanafi mentakrifkan murtad sebagai perbuatan yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada keimanan kepada kekufuran. Ulama Mazhab Maliki pula berpendapat, seseorang yang beragama Islam boleh kufur apabila secara jelas menyatakan dan melakukan perbuatan yang mengandungi maksud kufur.

Sehubungan itu, nasihat saya kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya supaya tidak mempermain-mainkan agama dengan perbuatan, percakapan dan sebagainya yang berkemungkinan membawa kepada murtad.

SOALAN: Apakah punca-punca yang boleh membatalkan akidah seseorang Musim?

Akidah seseorang itu boleh terbatal jika mereka melakukan perkara berikut:

1. Mengungkap perkataan yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam sama ada ia dilakukan secara serius atau gurauan. Sebagai contoh, mengatakan bahawa "Nabi seorang pendusta dan gila seks." "Islam agama yang kolot." "Wanita yang bertudung adalah wanita yang kolot."

2. Menghina syariat Allah seperti hukum hudud, kewajipan solat, kewajipan zakat, kewajipan puasa dan haji. Adakalanya seseorang itu boleh menjadi murtad jika secara jelas atau gurauan dia menolak pengharaman judi dan arak yang terkandung dalam al-Quran.

3. Melakukan perbuatan kufur atau syirik seperti yang dilakukan golongan musyrik. Sebagai contoh sujud kepada berhala sebagai penghormatan. Memakai salib dengan anggapan ia adalah sebagai pendinding. Percaya dan memohon bantuan daripada jin dan syaitan hingga sanggup melupakan Allah SWT. Memakai pakaian-pakaian ahli ibadat golongan bukan Islam seperti sami dan sebagainya sebagai tanda keagungan agama berkenaan. Semua perbuatan tersebut adalah haram dan boleh menyebabkan akidah seseorang Muslim terbatal.

4. Mempersendakan agama Allah SWT walaupun ia hanya bersifat gurauan. Ada sebahagian umat Islam sanggup mempermain-mainkan agama Allah dengan pelbagai cara seperti mempersendakan ayat-ayat al-Quran atau Sunnah Nabi SAW.

Walaupun perkara itu nampak remeh tetapi ia sangat besar dosanya di sisi Allah SWT. firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 65 hingga 66 yang bermaksud: "Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (mengenai perbuatan mereka itu), pasti mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah bermain-main sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu sentiasa mempersendakan? Tidak perlulah kamu memohon maaf, kerana kamu telah pun kufur sesudah kamu beriman. Jika Kami memaafkan sebahagian daripada kamu (lantaran mereka taubat), maka Kami akan menyeksa sebahagian yang lain. Ini kerana mereka adalah orang-orang yang terus berbuat dosa.

Berita Harian X