Rabu, 10 Ogos 2016 | 1:04pm

Aksi ikan paus dan lumba-lumba tarikan baharu Langkawi


PENGERUSI Pertubuhan Penyelidikan MareCet (PPM) Dr Louisa Ponnampalam (kiri sekali) memberi penerangan kaedah merawat ikan lumba-lumba yang tercedera kepada peserta Bengkel Mamalia Marin Terdampar Langkawi di Ombak Villa, Langkawi, hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Pakej menyaksikan habitat dan aksi kumpulan ikan paus serta lumba-lumba yang sering ditemui di perairan Langkawi berpotensi menjadi tarikan baharu sektor pelancongan di pulau lagenda itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, berkata kehadiran ikan berkenaan di perairan Langkawi memang dikesan sejak dahulu, namun belum diketengahkan secara meluas.

"Saya sendiri pernah melihat kumpulan ikan lumba-lumba beraksi di perairan Pulau Payar, malah beberapa saksi lain pernah melihat aksi ikan sama di sekitar Dataran Lang, Pulau Tuba dan Teluk Datai.

"Aset marin ini boleh ditonjolkan sebagai pakej pelancongan baharu dalam usaha kita memperkasakan sektor pelancongan ekologi," katanya selepas merasmikan Bengkel Mamalia Marin Terdampar Langkawi di Ombak Villa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Datuk Rozaina Radzi dan Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan MareCet (PPM), Dr Louisa Ponnampalam.

Khalid berkata, mengikut kajian PPM sejak enam tahun lalu sekurang-kurangnya tiga spesies ikan lumba-lumba iaitu Indo-Pacific humpbacked dolphin (Sousa chinensis), Indo-Pacific finless porpoise (Neophocaena phocaenoides) dan Indo-Pacific bottlenose dolphin (Tursiops aduncus) ditemui membiak di perairan Langkawi.

"Turut ditemui satu spesies paus dikenali Bride's Whale (Balaenoptera edeni)," katanya.

Berita Harian X