Rabu, 10 Ogos 2016 | 12:06pm

Saman Mukhriz remeh, menyalahgunakan proses mahkamah - Peguam

KUALA LUMPUR: Kes saman oleh Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berhubung empat kenyataan akhbar yang didakwa memfitnahnya, adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Ooi She Yi yang mewakili Tengku Sariffuddin berkata, anak guamnya dalam permohonan untuk membatalkan saman Mukhriz turut menyatakan, tuntutan saman itu adalah melampau dan tidak membawa sebarang kausa tindakan yang munasabah.

She Yi berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Roslan A Bakar menetapkan pada 11 Oktober ini bagi mendengar permohonan Tengku Sariffuddin untuk membatalkan saman itu.

Turut hadir dalam prosiding pengurusan kes di kamar hakim ialah peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak Mukhriz.

Sementara itu, Mohamed Haniff berkata, beliau mendapat arahan daripada anak guam untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan penjelasan berhubung pernyataan pembelaan Tengku Sariffuddin.

Mukhriz, 51, memfailkan saman berkenaan pada 3 Mei lalu dan dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa Tengku Sariffuddin mengeluarkan empat kenyataan media yang memfitnahnya, dan diterbitkan serta disiarkan secara meluas oleh pelbagai media dan portal berita.

Empat kenyataan media itu adalah Prime Minister's Press Secretary Statement on Donation: Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister; Prime Minister's Press Secretary Statement on Former DPM's Reuters Interview; Mukhriz Mahathir Statement:Response by Prime Minister's Press Secretary; dan Prime Minister's Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamed and Mukhriz Mahathir, di antara 15 dan 26 April lalu.

Mukhriz berkata, kenyataan fitnah itu menyebabkan beliau dijauhi dan disisihkan, selain reputasinya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli UMNO (ketika itu) dan tokoh masyarakat, terjejas teruk.

Berita Harian X