Selasa, 9 Ogos 2016 | 10:05am

Saham Asia kukuh disokong aliran masuk dana asing

SYDNEY: Saham Asia berada di atas paras tinggi dalam tempoh setahun hari ini kerana desakan mencari hasil menyumbang aliran masuk pada paras rekod ke dalam dana pasaran baharu muncul, sementara harga minyak cuba mengekalkan peningkatannya yang dicatatkan sesi sebelum ini.

Penganalisis Bank of America Merrill Lynch berkata, desakan mencari hasil menyebabkan aliran masuk terbesar ke dalam dana hutang pasaran baharu muncul dicatatkan dan pengaliran masuk paling lama ke dalam dana ekuiti dicatatkan dalam tempoh dua tahun.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI naik 0.1 peratus yang mana ia juga mencatatkan peningkatan bagi tiga sesi berturut-turut.

Indeks penanda aras pasaran Jepun, Nikkei juga mencatatkan peningkatan bagi empat sesi dengan peningkatan awal 0.1 peratus, sementara Korea Selatan mengukuh 0.2 peratus.

Di Wall Street, Indeks Dow jatuh 0.08 peratus, sementara S&P 500 susut 0.09 peratus dan Nasdaq merosot 0.15 peratus.

Di dalam pasaran tukaran asing, dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding kumpulan mata wang utama, ia kukuh pada paras 96.358.

Mata wang itu mengukuh berbanding yen kepada paras 102.35 yen, sementara euro jatuh kepada AS$1.1081.

Harga minyak pula jatuh sedikit hari ini selepas mencatatkan rali tiga peratus semalaman di tengah-tengah spekulasi baharu bahawa OPEC akan cuba mengekang output.

Kontrak penanda aras minyak mentah AS naik 16 cents kepada AS$42.86 setong, sementara Brent jatuh 17 cents kepada AS$45.22. - RERUTERS

Berita Harian X