Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:04am

Raja buah punya pelbagai khasiat

DURIAN atau nama saintifiknya 'Durio', buah tropika yang berasal dari Asia Tenggara yang isinya manis, lembut dan aromanya yang enak. Ia menjadi kegilaan peminat buah-buahan tempatan yang sentiasa menantikan kedatangan musimnya saban tahun.      

  Raja buah ini juga dikatakan sedap dan berkhasiat dimakan sebaik saja buahnya gugur sehingga empat hari kerana itu menandakan buahnya sudah masak dan tidak perlu dijolok, manakala kualiti rasanya akan berkurangan seminggu selepas gugur.

  Selain rasanya yang sedap, durian juga antara buah-buahan tempatan memiliki banyak khasiat. Ia mengandungi phytonutrien dan antioksidan tinggi yang dapat menurunkan kadar kolesterol dan membersihkan darah.

  Kajian mendapati durian berpotensi mengelakkan jangkitan kulat kerana kandungan zat besi yang tinggi membantu sel darah putih menghasilkan kimia semula jadi untuk membunuh 

jangkitan.

  Dari sektor ekonomi, durian menjadi antara penyumbang pendapatan negara apabila nilai eksport produk berasaskan buah itu mencecah RM60 juta pada tahun lalu.

  Tahun ini, kerajaan menyasarkan nilai eksport produk durian negara meningkat sehingga RM400 juta berdasarkan permintaan tinggi bagi raja buah itu sekali gus membolehkan petani dan pengusaha mendapat peluang lebih baik pada masa depan.

 

Info      

Durian boleh ditemui di negara:

  • Malaysia
  • Filipina
  • Indonesia 
  • Brunei

 

Panduan memilih durian

- Tengok kulit durian. Jangan pilih kulit yang ada kesan gigitan tupai, merekah atau kulitnya ada tompokan hitam kerana ia sudah busuk.

- Tengok duri durian. Cari buah yang berduri tumpul dan jarang.

- Cuba rasa berat buah durian. Kalau terlalu ringan dibandingkan dengan saiznya, mungkin itu durian lama. Cari durian yang mampat dan dirasakan beratnya sepadan dengan saiznya.

- Tengok tangkai durian. Jika tangkai berwarna coklat, kecut, kering berkemungkinan ia sudah lama gugur. Cari yang berlendir dan berwarna hijau. Ada juga durian yang tangkainya jenis liat dan teguh. Biasanya isi buahnya memang lebih sedap dan manis daripada biasa.

- Cium bau durian. Selalunya kalau durian yang cukup matang dan sedap, baunya pasti harum semerbak dan rasa begitu menyelerakan.

      

Khasiat durian

- Mengatasi sembelit kerana ia mengandungi banyak serat.

- Mengatasi anemia kerana mengandungi folat atau Vitamin B9 yang boleh menghasilkan sel darah merah.

- Menjaga kesihatan kulit kerana mengandungi Vitamin C yang berfungsi sebagai antioksidan dan antipenuaan.

- Mengandungi banyak potasium atau kalsium sehingga baik untuk kesihatan tulang dan sendi.

- Mengatasi migrain kerana mengandungi riboflavin atau Vitamin B2.

- Meredakan tekanan kerana mengandungi Vitamin B6 atau piridoksin.

- Menjaga kesihatan gigi dan mulut kerana mengandungi posphor.

 

 

Jenis-jenis Durian

 

1. Mao Shan Wang/ Musang King/ D 197

Nama Lain: Butter durian, Cat Mountain King, Raja Kunyit

Warna: Kuning terang

Asal: Kelantan, Pahang dan Johor

Rasa: Manis dan Pahit, Tekstur berkrim.

 

2. Golden Phoenix

Nama Lain: Jin Feng

Warna: Kuning pucat dan keputihan

Asal: Pahang, Johor

Rasa: Pahit dengan tekstur agak berair dan bau yang tajam

3. XO

Warna: Kuning pucat

Asal: Johor, Pahang

Rasa: Pahit dan lembut, isinya tebal.

 

4. D24

Nama Lain: Sultan

Warna: Kuning pucat

Rasa: Berkrim dan juga pahit

Asal: Johor, Pahang

 

5. D13

Warna: Jingga

Rasa: Manis, kurang berbau dan rasa manisnya tidak terlalu kuat. Durian ini mempunyai biji yang besar. Sesuai buat orang yang pertama kali mencuba durian.

Asal: Johor

 

6. D1

Warna: Kuning pucat

Rasa: Bijinya kecil dan ada sedikit rasa susu. Isinya mudah terpisah dari biji dan sedikit rangup di permukaan

Asal: Johor

 

7. D101

Warna: Kuning kusam

Rasa: Rasanya sedikit manis dan berkrim

Asal: Pahang, Johor

 

8. Udang Merah

Nama Lain: Hong Xia, Ang Hay

Warna: Jingga kemerahan

Rasa: Sedikit melekit dan manis

Asal: Pahang, Johor

 

9. Green Bamboo

Nama Lain: Qing Zhu

Warna: Kuning kusam beserta kehijauan

Rasa: Manis dan isinya mempunyai serat makanan

Asal: Johor

 

10. Mutiara Hitam

Nama Lain: Hei Zhen Zhu

Warna: Kuning pucat

Rasa: Sedikit pahit, berlemak dan mempunyai biji yang kecil

Asal: Johor

Berita Harian X