Isnin, 8 Ogos 2016 | 1:45pm

MPK arahkan semua premis kibar Jalur Gemilang


MPK meminta semua pemilik premis di dalam kawasan pentadbirannya memasang Jalur Gemilang. - Foto Izhari Ariffin

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) meminta semua pemilik premis di dalam kawasan pentadbirannya memasang Jalur Gemilang sebagai sokongan menzahirkan patriotisme sempena bulan kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang.

Yang Dipertuanya, Datuk Fadzilla Salleh, berkata pihaknya sudah mengeluarkan arahan bagi tujuan berkenaan kepada semua pemilik premis di kawasan pentadbirannya sejak hujung bulan lalu dan berharap mereka mempunyai semangat patriotisme tinggi bagi melaksanakannya.

Beliau juga meminta pemilik premis supaya menggantikan Jalur Gemilang yang sudah lama, usang dan rosak kepada yang baharu bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan sepanjang bulan ini.

"Setakat ini, sudah ada inisiatif daripada pemilik premis...namun kita masih melakukan pemantauan dan berharap semua premis di bandar ini memasang sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang pada premis mereka.

"Kita minta pemilik premis turut berkongsi minat meraikan sambutan kemerdekaan walaupun ia bukan arahan yang wajib diikuti pemilik premis... tapi, ia lebih kepada rasa tanggung jawab masing-masing... sebagai tanda sayangkan negara," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Fadzilla berkata, MPK akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan program sambutan bulan kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang dan berharap mendapat sokongan orang ramai.

Katanya, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat negeri akan diumumkan pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Kebangsaan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid di Sabah, Sabtu lalu.

Berita Harian X