Isnin, 8 Ogos 2016 | 12:00am

Hak paten bunga tanjung 9 kelopak


PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Hal Ehwa Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Yunus Hairi (kanan) bersama Penaung Persatuan Pakar Pembuatan Kraf dan Sulam Tangan Kuala Lumpur dan Selangor (SCHEME), Norehan Kassim (dua dari kanan), Ketua Pegawai Operasi PADAT, Mohd Faizul Muslil (dua dari kiri) dan Pengerusi Persatuan Pakar Pembuatan Kraf dan Salam Tangan Kuala Lumpur dan Selangor (SCHEME), Noor Ba'ah Abdol Said melihat ukiran sulaman pada Tekat Gubah Bunga Tanjung di Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Falsafah di sebalik motif ragam hias tekat gubah, bunga tanjung sembilan kelopak yang melambangkan sembilan daerah di Selangor mendorong Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) membuat permohonan hak paten.

Apatah lagi berbanding tekat benang emas, tekat gubah khasnya motif yang bakal dipatenkan itu tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat awam.

Perbezaan antara tekat benang emas dan tekat gubah sangat ketara, sekali gus menyebabkan usaha mempopularkan tekat gubah perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh bagi memastikannya tidak luput dari ingatan kolektif budaya.

Sementara itu, Pengerusi PADAT, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tekat gubah lazimnya dihasilkan dengan ragam hias yang banyak dipengaruhi unsur alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan dan unggas, selain unsur geometrik.

"Bunga tanjung sembilan kelopak ialah bunga rasmi Selangor dan menjadi antara ragam hias utama yang diabadikan oleh Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah dalam seni bina Istana Bandar Kampung Bandar Kuala Langat sejak 1905 lagi.

"Pada 1989, ketika pembukaan rasmi Muzium Sultan Alam Shah motif bunga tanjung sembilan kelopak ini turut diabadikan sebagai motif ukiran kayu di bahagian dinding dan pintu muzium itu," katanya pada sidang media di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Berbeza dengan tekat benang emas, tekat gubah tidak mempunyai empulur, sebaliknya penenun hanya menyulam dan mencorakkan motif hiasan menggunakan benang sutera merah yang dipanggil benang untina.

Memperkemaskan lagi corak tekatan itu, ada kala ia diiringi dengan sulaman labuci dan manik.

Ahmad Yunus berkata, tekat gubah sejak dulu digunakan dengan meluas pada busana dan hiasan keluarga diraja sejak zaman kesultanan Selangor hingga kini.

Pada zaman pemerintahan Sultan Ala'eddin Suleiman Shah antara 1898 hingga 1938, aktiviti sulaman dan seni kraf tekat gubah amat digalakkan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat Selangor.

"Berbanding dengan tekat suji, kos tekat gubah lebih murah dan ini juga antara faktor yang mendorong PADAT untuk tampil menyuburkan kembali sulaman tekat gubah," katanya.

Usaha PADAT dalam mempromosi tekat gubah bunga tanjung sembilan kelopak turut memperlihatkan tenunan dengan motif itu yang dihasilkan oleh 31 penenun daripada PADAT dan Persatuan Pakar Pembuatan dan Sulam Tangan Kuala Lumpur dan Selangor (SCHEMES).

Hasil itu turut dicatatkan sebagai tekat gubah terpanjang dalam buku Malaysian Book of Record.

INFO: Sultan Ala'eddin Suleiman Shah

  • Sultan Selangor Kelima yang memerintah negeri itu bermula 1898 hingga 1938
  • Baginda bukan saja banyak menyumbang kepada perkembangan Islam, bahkan diiktiraf sebagai seorang yang alim
  • Malah, baginda turut menulis kitab, iaitu Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman dan Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, selain turut berkebolehan mengarang syair.
  • Antara ulama yang rapat dengan baginda ialah Tengku Mahmud Zuhdi Abdur Rahman al-Fathani
Berita Harian X