Ahad, 7 Ogos 2016 | 11:57pm

Rekod baharu 820 ibu menyusukan anak serentak


SEJUMLAH 820 orang ibu hari ini menyusukan bayi mereka secara serentak untuk mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

PETALING JAYA: Sejumlah 820 orang ibu hari ini menyusukan bayi mereka secara serentak untuk mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR), mengatasi rekod 2013 membabitkan 432 orang ibu.

Keputusan itu diumumkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng selepas ibu-ibu itu yang berkumpul di empat negeri mula menyusukan bayi mereka secara serentak pada 3 petang.

Pengasas The Breastfeeding Advocates Network (TBAN) Gina Yong berkata pada 2013, mereka dapat mengumpulkan seramai 432 ibu dan bayi dari seluruh negara untuk memecahkan rekod buat pertama kali di Kuala Lumpur.

"Tetapi kali ini kami berjaya melakukannya di peringkat seluruh negara apabila kami mengumpulkan ibu bersama bayi mereka di beberapa lokasi, di Petaling Jaya, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor Bharu untuk mengatasi rekod," katanya kepada Bernama selepas sambutan The Gift Of Love (GoL) di sini, hari ini.

Beliau berkata acara itu, yang diadakan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan ibu untuk menyusukan bayi mereka tanpa perlu bimbang tentang tanggapan masyarakat.

"Satu daripada nilai teras dalam TBAN ialah memberi bantuan dan sokongan kepada ibu dan bakal ibu untuk menyusukan bayi mereka, sejak dari mula kehidupan bayi.

Sementara itu, bekas presiden Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia, Nor Kamariah Mohamad Alwi berkata adalah penting untuk memupuk kesedaran di kalangan awam bagi membolehkan mereka menerima penyusuan susu ibu secara normal.

Pengasas susuibu.com berkata kurang 20 peratus daripada hospital swasta di seluruh negara menyediakan Inisiatif Hospital Mesra Bayi (BFHI) berbanding hospital kerajaan.

"Ia juga penting bagi ibu-ibu untuk dididik bagaimana untuk menyusukan bayi mereka terutama pada minggu awal kelahiran.

"Ada ibu-ibu yang mendapat maklumat mengelirukan seperti mereka perlu berhenti jika mengalami kesakitan semasa menyusu, sebenarnya ia perkara biasa jika terasa sakit pada awal dan jika kesakitan berterusan mereka perlu mendapatkan pandangan akar tentang bagaimana untuk melakukannya dengan betul," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X