Ahad, 7 Ogos 2016 | 9:51pm

Johor terus kuasai pungutan pingat Paralimpiad


AKSI atlet-atlet ketika memulakan larian acara 100 meter lelaki akhir pada Sukan Paralimpiad Ke-18 di Stadium Sarawak hari ini.- Foto BERNAMA

KUCHING: Johor terus mengekalkan kedudukan teratas pungutan pingat dua hari berturut-turut pada Sukan Paralimpiad Malaysia ke-18 yang diadakan di sini.

Pasukan selatan tanah air itu hari ini menambah lima pingat emas berbanding empat yang dicatat semalam, menjadikan keseluruhan pungutan pingat kepada sembilan emas, empat perak dan tiga gangsa.

Perlis mengekori rapat di kedudukan kedua, kurang hanya satu pingat emas, dengan jumlah keseluruhan lapan emas dan dua gangsa.

Paling mencuri tumpuan pastinya Sabah, yang gagal memungut sebarang pingat emas dan sekadar berada di kedudukan ketujuh semalam, hari ini menampilkan aksi berbeza apabila berjaya memungut tujuh pingat emas menerusi acara olahraga.

Kejayaan itu melonjak kedudukan ke tangga ketiga pungutan pingat hari ini, pasukan itu juga mengumpul tujuh perak dan tiga gangsa.

Tuan rumah Sarawak, Kedah dan Perak masing-masing mengumpul enam pingat emas, namun kutipan pingat perak dan gangsa membezakan kedudukan ketiga-tiga pasukan itu.

Sarawak yang juga juara bertahan pada Sukan Paralimpiad ke-17 di Perlis, mengumpul enam pingat emas, 14 perak dan 18 gangsa.

Kedah mengumpul enam emas, tiga perak dan tiga gangsa, manakala Perak mengumpul enam emas, dua perak dan tiga gangsa.

Esok hari ketiga pertandingan, sebanyak 93 pingat emas ditawarkan dengan masing-masing menerusi acara badminton (2), catur (12), memanah (4), olahraga (26), powerlifting (8), renang (28), dan tenpin bowling (13).

Sukan Paralimpiad yang bermula semalam hingga 10 Ogos akan membabitkan 1,407 atlet istimewa daripada kategori kurang keupayaan anggota, penglihatan, akal dan juga spastik, yang bertanding dalam sembilan acara sukan di beberapa gelanggang di sekitar Kuching dan Samarahan. - BERNAMA

Berita Harian X