Sabtu, 6 Ogos 2016 | 11:19am

Olimpik Rio bermula penuh warna-warni, simbolik


PANCARAN bunga api menerangi Stadium Maracana dalam acara pembukaan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini. - Foto Reuters

RIO DE JANEIRO: Dengan bunga api membentuk perkataan Rio di langit dan supermodel Gisele Bundchen berjalan diiringi lagu "The Girl from Ipanema," Rio de Janeiro mengalu-alukan kedatangan Sukan Olimpik pertama di Amerika Selatan dengan tema 'Pelihara planet kita'.

Selepas mengharungi pelbagai rintangan, tuan rumah kini bersedia untuk temasya Olimpik ke-31 yang akan berlangsung selama dua minggu.

Acara pembukaan yang dilakukan dengan teknologi rendah dan kos sederhana akibat masalah ekonomi dan politik yang melanda Brazil, menampilkan persembahan yang menceritakan kehidupan hamba abdi, buruh kasar dan penari-penari yang membentuk sejarah serta budaya negara Amerika Latin itu.

Penganjur turut menyelitkan mesej berkenaan pemanasan global dengan memancarkan imej-imej ke atas lantai Stadium Maracana yang dibanjiri atlet-atlet daripada 207 negara bertanding.

Pengumuman rasmi pembukaan temasya dibuat oleh pemangku Presiden Brazil, Michel Temer yang mengisi kerusi panas itu selepas Presiden Dilma Rousseff digantung empat bulan lalu.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai kontinjen negara pada upacara perasmian Sukan Olimpik 2016 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil, hari ini. - Foto EPA

Sebelum itu, di sekitar bandar Rio de Janeiro, penunjuk perasaan menggunakan kesempatan untuk menuntut Temer meletak jawatan.

Setiap atlet yang menyertai perbarisan ke dalam stadium, diberikan biji benih pokok untuk ditanam ke kotak-kotak kecil yang disediakan. Anak-anak pokok ini akan ditanam di taman Rio.

Selepas atlet legenda Brazil - bintang bola sepak Pele - berkata dia tidak akan tampil pada acara itu atas sebab kesihatan - bekas pelari jarak jauh Brazil, Vanderlei Cordeiro de Lima diberi tanggungjawab menyalakan api temasya. - AP

Berita Harian X