Sabtu, 6 Ogos 2016 | 12:02am

Rendang ayam Luth Kitchen


MASAKAN tradisional ini sememangnya enak dimakan bersama dengan nasi, pulut, lemang, ketupat palas, ketupat nasi dan nasi himpit, malah roti. - Foto Rohanis Shukri

SEBUT saja rendang, siapa tidak terliur membayangkan keenakan sajian yang mempunyai sejarah tersendiri itu.

   Menu tradisional itu dikatakan, sudah pun bermula dari zaman nenek moyang di Melaka iaitu bermulanya, kedatangan pelbagai jenis rempah diambil dari Asia Barat dan India oleh pedagang yang berlabuh di pelabuhan Melaka.

   Rendang menjadi hidangan paling popular, terutama menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha ataupun ketika majlis kenduri. Masakan tradisional ini sememangnya enak dimakan bersama dengan nasi, pulut, lemang, ketupat palas, ketupat nasi dan nasi himpit, malah roti.


BAHAN utama membuat rendang ayam. - Foto Rohanis Shukri

Bahan utama

Bagi menyediakan hidangan ini, ia seharusnya dimasak bersama santan manakala daging lembu atau ayam, itik dan sebagainya adalah bahan utama yang perlu disediakan.

   Bahan ramuan lain diadunkan bersama, termasuklah cili, bawang, daun kunyit, kerisik dan sebagainya. Malah, untuk menambahkan lagi rasa pedas ada yang menambahkan cili padi.

   Namun, bagi menyediakan hidangan tradisional ini, setiap negeri mungkin ada cara berbeza memasaknya, malah bahan ramuan yang dicampurkan juga tidak sama.

   Berkongsi sajian masakan rendang, minggu ini Aura membawakan resipi ringkas yang dikongsikan, Cef Ahmad Shah Rosli dari Katering Luth Kitchen.


BAGI menyediakan hidangan ini, ia seharusnya dimasak bersama santan. - Foto Rohanis Shukri

Resipi rendang ayam Luth Kitchen (10 orang makan)

Bahan:

*Ayam 1 ekor

*Bawang merah - 140 g (dikisar)

*Bawang putih - 80 g (dikisar)

*Serai - empat batang (dikisar)

*Halia - 80 g (dikisar)

*Lengkuas - 1 inci (dikisar)

*Pes cili - 130 g

*Kerisik - 100 g

*Kulit kayu manis - satu batang

*Bunga cengkih - dua keping

*Gula merah - 70 gram (g)

*Santan - empat sudu besar

*Garam dan gula secukup rasa

*Daun kunyit (dihiris halus)

Cara membuatnya:

1. Masukkan minyak dan letak bunga cengkih dengan kulit kayu manis.

2. Tuangkan bahan sudah dikisar dan tumis hingga keperangan.

3. Letak pes cili tadi dan kacau sebati hingga naik bau.

4. Masukkan ayam yang sudah dibasuh bersih dan biarkan ayam masak seketika.

5. Kemudian, campurkan kerisik gaul sebati.

6. Tambahkan santan sedikit demi sedikit.

7. Biarkan sehingga kesemua bahan masak dan daging ayam empuk.

8. Taburkan daun kunyit sudah dihiris halus dan siap untuk dihidang.

Info:

  • Rendang disebut dalam banyak cerita kesusasteraan Melayu klasik seperti Hikayat Amir Hamzah.
  • Ia membuktikan, rendang masakan Melayu sejak 1550-an.
  • Terdapat lebih 10 jenis rendang mengikut negeri.
  • Antaranya rendang tok, rendang minang, rendang daging, rendang ayam, rendang kerang dan

    rendang sotong.

  • Nama dan rupa mungkin nampak agak sama tetapi ia berbeza dari cara masak dan bahan digunakan.
Berita Harian X