Jumaat, 5 Ogos 2016 | 5:53pm

2 lelaki menyamar keturunan Sultan Melaka ditahan


ANTARA barangan yang dirampas di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki dipercayai menyamar keturunan Sultan Melaka dan merampas pelbagai keris, tombak, pedang, pakaian dan peralatan pelbagai gelaran kebesaran, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pelangi Indah, dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata suspek ditahan kira-kira jam 4.45 petang semalam dan dipercayai turut merancang mengadakan majlis keraian sempena memperingati kemangkatan kesultanan Melaka dalam tempoh terdekat.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas 30 keris pelbagai gelaran kebesaran, 16 helai kelengkapan persalinan pelbagai gelaran kebesaran, 12 tombak, pedang dan parang serta empat peralatan pelbagai gelaran kebesaran.

"Pada Rabu lalu, polis menerima laporan mengenai ada individu kononnya mengakui dari keturunan Sultan Melaka dengan mempamerkan peralatan kebesaran Kesultanan Melaka yang dimilikinya.

"Satu majlis keraian sempena memperingati kemangkatan Kesultanan Melaka juga dirancang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan dua lelaki di sekitar Taman Pelangi Indah, dekat sini dan merampas peralatan, persalinan dan barangan lain yang kononnya didakwa mempunyai kaitan dengan peralatan kebesaran Kesultanan Melaka," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan yang menggunakan nama Institusi Raja-Raja Berperlembagaan di Malaysia untuk kepentingan peribadi dan meraih sebarang keuntungan.

Berita Harian X